Anda di sini

Perkasakan perkhidmatan PBT ke arah teknologi pintar - Dr Sim

Advertisement
Dr Sim ditemani Penguang (dua kiri) dan tetamu kehormat lain menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada penerima, Dr Cheong Yaw Liang.
Dr Sim ditemani Penguang (dua kiri) dan tetamu kehormat lain menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada penerima, Dr Cheong Yaw Liang.

KUCHING: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak disarankan untuk mengadaptasi teknologi digital dalam usaha memperkasakan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian menegaskan, ia selari dengan matlamat Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam menjadikan Sarawak ke arah negeri digital.

"Negeri kita sedang menuju ke hadapan untuk menjadi negeri maju dan rakyatnya berpendapatan tinggi, jadi adalah penting untuk PBT menjadi yang terbaik untuk masyarakat.

"Oleh itu, kementerian menggalakkan penggunaan inisiatif teknologi pintar untuk menjalankan tugas di negeri ini dalam usaha menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan pada masa sama memastikan keselamatan kepada semua," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan 2019 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 di Hotel Pullman di sini hari ini.

Malah, Dr Sim mengambil contoh di Singapura yang mana PBT di negara tersebut mengguna pakai teknologi pintar dalam perkhidmatan mereka.

Pada masa sama beliau memberitahu, PBT juga harus belajar dari negara maju seperti China yang berjaya mentransformasikan perkhidmatan mereka ke arah teknologi digital.

Sehubungan itu, beliau berharap warga PBT dapat memperkasakan perkhidmatan mereka ke arah penggunaan teknologi pintar dalam usaha menjadikan kawasan masing-masing sebuah bandar pintar.

Terdahulu, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datu Bakrie Zaini berkata, sudah tiba masanya untuk PBT mengadakan program di pedalaman di negeri ini dalam memberi perkhidmatan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Katanya, meskipun sedar tentang kekangan yang dihadapi PBT dalam melaksanakan program di kawasan pedalaman namun ia bukanlah alasan untuk tidak menyediakan perkhidmatan kepada penduduk di pedalaman di negeri ini.

"Kita tidak boleh menghalang penduduk di pedalaman untuk menikmati perkhidmatan yang disediakan PBT, jadi sudah tiba masanya kita menyemak semula program-program kita supaya perkhimatan kita dapat dinikmati penduduk yang jauh di pedalaman ini," tegasnya.

Pada majlis itu, seramai 276 kakitangan dari Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Pembentungan dan 23 PBT menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018.

Hadir sama Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datu Dr Penguang Manggil, Timbalan Setiausaha Tetap Datuk Ik Pahon Joyik, Pengarah DID Sarawak Datu Chok Moi Soon dan tetamu kehormat lain.

  • oleh
  • Advertisement