Anda di sini

Pengusaha, pengendali makanan perlu giat tembusi pasaran global

Advertisement
 Paulus (dua kiri), Awang Tengah dan kenamaan lain bergambar bersama usahawan yang menerima pembiayaan baru-baru ini.
SOKONGAN KERAJAAN: Paulus (dua kiri), Awang Tengah dan kenamaan lain bergambar bersama usahawan yang menerima pembiayaan baru-baru ini.

LIMBANG: Pengusaha dan pengendali makanan di negeri ini harus memanfaatkan ruang industri halal yang semakin luas untuk mengembangkan perusahaan dan perniagaan agar menembusi pasaran global.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, industri halal di Malaysia semakin berdaya maju dan perlu dimanfaatkan termasuk mendapatkan pengiktirafan Halal JAKIM yang memberi nilai tambah kepada sesuatu produk dan premis makanan.

“Standard yang diguna pakai oleh JAKIM dalam memberi pengiktirafan telah diperakui seluruh dunia.

“Justeru bagi memperluaskan produk usahawan ke luar negara, kita perlu memanfaatkan industri halal yang berkembang di negara kita,” katanya pada Majlis Perasmian Program Pensijilan Pengendalian di sini, baru-baru ini.

Turut hadir ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Timbalan Residen Limbang Sebi Abang, Pengarah Kolej SATT Datuk Mohd Safri Datuk Abdillah, Pengarah Wilayah Agro Bank Wilayah Sarawak Abdul Halek Abdullah, Pegawai Penguasa Pejabat SEDC Wilayah Miri/Bintulu Nordin Mus dan Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata lagi, agensi-agensi persekutuan di Sarawak juga menawarkan bantuan kewangan seperti SME Bank, Agrobank, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan sebagainya.

“Sebagai contoh, Agro Bank telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM47,257,726 kepada 1,338 usahawan di daerah Limbang,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga merancang membina estet industri bagi perusahaan kecil dan sederhana, selain Anjung Usahawan termasuk di Batu Danau.

“Jangan takut, walaupun teknologi sudah jauh berubah, jika ingin mengembangkan perniagaan kemahiran juga kita perlu tingkatkan,” katanya.

Selain itu jelasnya, kerajaan melalui kementerian berkaitan turut membantu mempromosikan produk usahawan melalui program, bantuan dan geran yang disediakan melalui agensi berkaitan.

Oleh itu, amat penting bagi usahawan meningkatkan produktiviti selain menekankan aspek keselamatan makanan.

Advertisement