Anda di sini

Jerayawara Rumah dan Hartanah 2019 kedua SHEDA dari 1 hingga 3 November

Advertisement
 (Dari kiri) Pau, Sim, Wong, Lau dan Tan menunjukkan tanda bagus bersama gegantung jerayawara tersebut.
SIDANG MEDIA: (Dari kiri) Pau, Sim, Wong, Lau dan Tan menunjukkan tanda bagus bersama gegantung jerayawara tersebut.

KUCHING: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (SHEDA) cawangan Kuching akan menganjurkan Jerayawara Rumah dan Hartanah 2019 yang kedua bermula 1 hingga 3 November di Vivacity Megamall, dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Pengerusi penganjur Alan Wong berkata, pada jerayawara itu pengunjung berpeluang untuk bersua muka dengan pemaju hartanah di seluruh negara, yang akan mempamerkan projek-projek mereka.

Terdapat juga ruang pameran merangkumi pemaju, ejen hartanah dan perniagaan berkaitan hartanah yang membawa tawaran hartanah terbaik sama ada pemilik rumah mahupun pelabur.

Katanya, pembeli rumah berpotensi juga boleh menjangkakan tawaran dan promosi istimewa sepanjang acara tiga hari tersebut.

Acara itu juga merupakan jerayawara terakhir tahun ini yang menampilkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2019 di mana pembeli rumah yang membeli projek berdaftar HOC boleh menikmati diskaun 10 peratus ke atas harga rumah, dan pengecualian duti setem pada surat cara pemindahan dan perjanjian pinjaman.

"Pelawat juga akan menjumpai tawaran seperti teres dua tingkat bermula dari RM376,000 atau membeli rumah lengkap dengan peralatan di samping harga diskaun khusus.

"Pembeli berpotensi yang membeli dari mana-mana ruang pameran pada jumlah minimum RM1,000 layak menyertai cabutan bertuah beli dan menang dengan akses kepada hadiah istimewa," katanya pada sidang media di pejabat SHEDA di sini, semalam.

Antara aktiviti menarik yang bakal diadakan pada jerayawara itu ialah 'Next Big Chef (NBC)' iaitu program pencarian cef berbakat yang lazimnya dianjurkan secara tahunan oleh Universiti UCSI buat para pelajarnya.

Melalui kerjasama dengan SHEDA cawangan Kuching untuk Jerayawara Rumah dan Hartanah 2019 iaitu pada 2 November pada jam 2 petang, beberapa pasukan pemaju akan bersaing dalam NBC bagi cabaran pemaju.

Pengunjung dipelawa untuk menyaksikan pertarungan yang menarik itu dan turut serta dalam mengundi cef pilihan.

Sementara menunggu keputusan NBC diumumkan, syarikat Bestari Food Malaysia akan menawarkan pensampelan makanan percuma dari jam 10 pagi.

Wong pada masa sama melahirkan penghargaan kepada semua penaja NBC termasuk Bestari, Kow Kow, CCK, Lam Soon dan Tamago. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Universiti UCSI dan Kumpulan Sendayan kerana menganjur bersama cabaran tersebut.

Pada Ahad, sekitar jam 11 pagi, penyedia program prasekolah, Smart Reader Worldwide Sdn Bhd akan mengadakan penyampaian hadiah projek Projek Siri Buku Inspirasi (IBS) kepada dua pelajar cemerlang Smart Reader Kids yang memenangi pertandingan menulis cerita seluruh negara.

Pada sebelah petang, pelawat yang sukakan cabaran boleh menyertai 'Cabaran Pedas' pada jam 3 petang.

Para peserta akan mencuba menu terkini penaja utama, Seoul Garden, iaitu 'Soon Du Bu' atau stew tahu lembut. Hidangan itu pada asalnya mempunyai tiga tahap kepedasan namun untuk cabaran itu, hanya satu tahap sahaja ditawarkan dan peserta yang boleh menghabiskan, atau paling pantas menghabiskannya akan membawa pulang RM500 dalam bentuk tunai dan baucar tunai.

Beliau menambah, pemenang tempat kedua dan ketiga juga akan membawa pulang tunai dan baucar tunai.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga akan menyertai jerayawara selama tiga hari itu untuk bertemu pelanggan dan meningkatkan kesedaran orang ramai dalam kepentingan perlindungan keselamatan sosial khususnya bagi pencarum.

PERKESO mengamalkan hubungan mesra melalui interaksi rapat dengan harapan dapat memperkuat hubungan dan memperoleh kepercayaan klien terhadap perkhidmatannya.

Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO juga akan menerangkan manfaat Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) secara terperinci dan membantu dalam proses pendaftaran sebagai pencari kerja semasa jerayawara, katanya.

"Kita masih mempunyai ruang untuk sesiapa yang berminat sebagai pempamer dalam jerayawara ini," katanya.

Sesiapa berminat boleh menghubungi Angelina Chai di talian 019-8162191 atau hantar e-mel ke [email protected] untuk keterangan lanjut atau ikuti penganjur di Facebook @shedakuching untuk maklumat terkini.

Hadir sama, Pengerusi SHEDA cawangan Kuching Kr Sim Kiang Chiok, setiausaha Peter Lau, penolong setiausaha Peter Pau dan pengurus besar Tan Teck Kian.

Advertisement