Anda di sini

Bayi alami masalah usus bocor perlu dana pembedahan

Advertisement
 Ahmad Johnie (kanan) melawat Aqinnah Sofea, bayi Ahmad Nazren dan Rostina yang mengalami masalah kesihatan usus bocor sejak lahir di Hospital Sungai Buloh, Selangor kelmarin.
PRIHATIN: Ahmad Johnie (kanan) melawat Aqinnah Sofea, bayi Ahmad Nazren dan Rostina yang mengalami masalah kesihatan usus bocor sejak lahir di Hospital Sungai Buloh, Selangor kelmarin.

SIBU: Sepasang suami isteri memohon bantuan orang ramai bagi membiayai pembedahan bayi mereka berusia sebulan yang kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor sejak 3 Oktober lalu.

Ahmad Nazren Morni dan isterinya Rostina Bahrin memerlukan bantuan kewangan itu untuk pembedahan kali kedua bayi mereka yang dijangka dilakukan pada bulan depan.

Aqinnah Sofea mengalami masalah usus bocor sejak lahir pada 23 September lalu dan dimasukkan ke hospital berkenaan pada 3 Oktober lalu untuk menjalani pembedahan kali pertama.

Pasangan suami isteri itu yang menetap di Selangor, pernah memohon bantuan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi ditolak atas sebab bukan berasal dari Selangor.

Pasangan ini tidak pernah memohon bantuan daripada mana-mana pihak sebelum ini.

Ahmad Nazren yang berasal dari Daro, bahagian Mukah bekerja sebagai penghantar surat di sebuah syarikat kereta di Damansara.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi yang diiringi Pegawai Rumah Sarawak Awang Supian Awang Daud melawat keluarga berkenaan di Wad NICU, Hospital Sungai Buloh kelmarin.

Ketibaan beliau disambut Ketua Jabatan Unit Rawatan Rapi Neonatal Dr See Kwee Ching.

Sehubungan itu, pasangan suami isteri ini mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Johnie dan pihak hospital termasuk staf Jabatan Kerja Sosial Rosalina Sabirin dan Matron Jabatan Pediatrik Wirdawari Basar.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Ahmad Nazren di talian 011-37972019.

Advertisement