Anda di sini

Roddy juara Bintang Kecil Zon Sabah

Advertisement
 Aksi Roddy semasa mendendangkan lagu ‘Kejoraku Bersatu’.
BERBAKAT: Aksi Roddy semasa mendendangkan lagu ‘Kejoraku Bersatu’.

RODDY Dezlly Roger dinobatkan sebagai juara pertandingan Bintang Kecil Zon Sabah yang diadakan di The Walk Riverson, Kota Kinabalu.

Beliau yang mendendangkan lagu ‘Kejoraku Bersatu’ nyanyian asal kumpulan Search membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, sebuah trofi dan sijil penyertaan.

Anak sulung dari dua beradik itu berkata kemenangan itu sangat bermakna kerana ia merupakan penyertaan kedua setelah gagal mendapat tempat dalam pertandingan tahun lepas.

“Saya tidak berjaya memberikan persembahan yang terbaik pada tahun lepas kerana masih berasa gementar dan kurang pengalaman.

“Namun, pada tahun ini saya lebih yakin dan dapat lakukan yang lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik), Jabatan Penyiaran Sabah (RTM) Nor Yahati Awang, kelmarin.

Mengulas mengenai pemilihan lagu yang dinyanyikan pada pertandingan akhir, Roddy yang meminati muzik rock mengatakan pemilihan lagu adalah hasil dari perbincangan bersama ahli keluarga dan juga guru vokalnya.

 Finalis Pertandingan Akhir Bintang Kecil Zon Sabah.
BINTANG KECIL: Finalis Pertandingan Akhir Bintang Kecil Zon Sabah.

Pertandingan Akhir Bintang Kecil Zon Sabah menampilkan tujuh orang finalis iaitu Daryl Damian (Daryl), Nur Qaireen Izyan Damia Jukiri (Qyen), Dayang Irsyadhania Iraril (Dhania), Huelva Jonius (Eva), Roddy Dezlly Roger (Roddy), Rafhanah Qiswah Rizan (Qiswah) dan Felicia Geraldine Tsen Lai Wen (Felicia).

Seramai 150 bakat cilik mengambil bahagian dalam uji bakat yang dijalankan di seluruh daerah bagi merebut tujuh tempat bagi berentap dalam pertandingan akhir.

Penerbit rancangan Pertandingan Bintang Kecil Noryani Mahiluddin berharap pertandingan itu dapat menarik lebih ramai penyertaan pada masa hadapan dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat baharu dari Sabah.

Juara Pertandingan Bintang Kecil Zon Sabah akan meneruskan cabaran selaku wakil negeri ke ‘Konsert Mega Star’ iaitu Pertandingan Akhir Bintang Kecil  Kebangsaan yang bakal berlangsung Disember ini, di negeri Perak. — Penerangan

Advertisement