Anda di sini

Tanggungjawab bersama jaga alam sekitar: Christina

Advertisement
 Pemenang penerima anugerah merakamkan gambar kenangan bersama Assaffal (lima dari kiri).
GAMBAR KENANGAN: Pemenang penerima anugerah merakamkan gambar kenangan bersama Assaffal (lima dari kiri).

KOTA KINABALU: Menjaga dan melindungi alam sekitar bukanlah menjadi tugas kerajaan semata, tetapi merupakan tanggungjawab masyarakat keseluruhannya.

Setiap lapisan masyarakat memainkan peranan penting dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan perlu turut serta menjayakan aktiviti memelihara dan memulihara alam sekitar.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, setiap insan perlu berganding bahu serta bersatu tenaga bagi menangani masalah pencemaran alam sekitar.

"Setiap manusia hidup bergantung kepada sumber alam, seperti udara bersih serta flora dan fauna yang terdapat di muka Bumi ini.

"Pengaruh manusia dan persekitaran terhadap kepelbagaian biologi di negeri ini adalah antara isu utama yang berkait rapat dengan penjagaan ekosistem," katanya dalam Majlis Anugerah Kinabalu Pengiktirafan Alam Sekitar sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2019 di sini, kelmarin.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menterinya Assaffal P. Alian.

Dalam majlis berkenaan, Assaffal menyampaikan Anugerah Kinabalu Pengiktirafan Alam Sekitar yang dimenangi oleh Pengetua Sekolah Menengah St. Michael, Penampang Jennifer Asing.

Sementara itu, Kategori Organisasi (Sumbangan terhadap program kesedaran alam sekitar) disandang Repsol Oil & Gas Malaysia Limited, manakala Dr. Wong Siew Te penerima Kategori Individu.

Bagi Kategori Badan Bukan Kerajaan (NGO), ia dimenangi oleh Sabah Wetlands Conservation Society sementara Sharon Raymond Kisil mengungguli Kategori Media.

Menurut Assaffal, anugerah berkenaan bukanlah penanda aras utama sumbangan kita kepada kelestarian alam sekitar, dan usaha bagi meningkatkan indeks kelestarian alam sekitar perlu diteruskan.

"Anugerah ini merupakan salah satu inisiatif bersama di antara kerajaan dengan pihak Petronas yang julung kali diadakan untuk mengiktiraf peranan dan tanggungjawab yang ditunjukkan oleh orang perseorangan, organisasi, badan bukan kerajaan (NGO) dan media massa," katanya.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Amirul Aripin, Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Vitalis Moduying dan ketua PETRONAS Sabah dan Labuan, Komunikasi Strategik Kumpulan Rokiah Sulaiman.
 

  • oleh
  • Advertisement