Anda di sini

Pusaka bawa anda ke satu dunia lain bermula 31 Oktober ini

Advertisement
 Astro Shaw terus rancak menerbitkan filem buat pengemar filem tempatan apabila hadir dengan naskah seram terbaharu PUSAKA yang bakal berada di pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura bermula 31 Oktober ini. PUSAKA merupakan sebuah produksi Alpha47 Films dan terbitan Astro Shaw dan Director’s Think Tank.
FILEM BAHARU: Astro Shaw terus rancak menerbitkan filem buat pengemar filem tempatan apabila hadir dengan naskah seram terbaharu PUSAKA yang bakal berada di pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura bermula 31 Oktober ini. PUSAKA merupakan sebuah produksi Alpha47 Films dan terbitan Astro Shaw dan Director’s Think Tank.

FILEM seram adalah antara genre yang sering menjadi pilihan penonton kerana daya tarikannya yang tersendiri.

Khas buat peminat filem tanah air, sebuah filem seram terbaru, PUSAKA dari penerbit filem ‘Dukun’, Astro Shaw dengan kerjasama Director’s Think Tank bakal menjengah pawa-gam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura bermula 31 Oktober ini.

Satu majlis Malam Gala diadakan di MBO The Starling Mall baru-baru ini bagi meraikan kehadiran filem ini.  

Naskhah yang mendapat garapan kreatif oleh pengarah Razaisyam Rashid dan produksi oleh Alpha47 Films ini menyaksikan permainan kamera, pembinaan suspens, suntingan serta tona warna filem yang agak berbeza.

Ini sekali gus mampu memberikan mood seram kepada penonton. Lebih menarik, keunikan PUSAKA turut dipadatkan lagi dengan gabungan elemen penyiasatan dan aksi.

Manakala, naratif cerita PUSAKA berasaskan idea asal dari Natasha Chopra dan lakon layar serta skrip digarap sepenuhnya oleh pasukan penulis Astro Shaw writers room.

Watak-watak dalam filem pula digerakkan oleh pelakon Syafiq Kyle, Mimi Lana, Faizal Hussein, Fauziah Dato’ Ahmad Daud, Hafidz Roshdi, Sweet Qismina, Draman Muhammad, Aloy Paradox, dan Yuna Rahim.   

PUSAKA mengisahkan seorang Inspektor Nuar Ishak lakonan Syafiq Kyle telah menemui mayat dan seorang wanita bernama Balqis dan Qistina (Sweet Qismina) pasangan kembar yang terkurung di sebuah rumah tinggal dan memerlukan siasatan penuh oleh pihak polis yang diketuai oleh Inspektor Nuar.

Semenjak itu, setiap langkah Nuar dihantui pelbagai kelibat, gangguan dan kematian. Walaupun merasakan dirinya semakin hilang pertimbangan di samping mempunyai permasalahan antara adik kembarnya Nur (Mimi Lana), dia harus menyelesaikan kes ini sebelum ada nyawa yang hilang.  

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad menjelaskan bahawa Astro Shaw sentiasa mengutamakan kualiti filem yang diterbitkan. Selaras dengan usaha itu, Astro Shaw terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam menerbitkan sesebuah filem seperti mana filem PUSAKA.

“Peminat filem tempatan amat meminati filem seram dan horror, jadi kami harus menghasilkan sebuah filem horror yang mempunyai kelainan berbanding filem terbitan kami sebelum ini sekali gus memberi kepuasan kepada penonton. Kami melihat jalan cerita PUSAKA mempunyai potensi untuk diangkat menjadi sebuah naskhah yang baik. Meskipun berdepan dengan cabaran masa yang agak singkat dalam menghasilkan filem ini, namun kami yakin dengan penglibatan tenaga-tenaga kreatif ia mampu mencetus tanda arasnya yang tersendiri. Bercakap mengenai pemilihan barisan pelakon muda sebagai tunjang utama filem ini adalah kerana Astro Shaw sentiasa membuka ruang dan memberi kepercayaan kepada bakat-bakat baru mahupun muda untuk diketengahkan. Kami harap filem ini mampu memberi kepuasan kepada peminat-peminat filem seram khususnya penggemar filem tempatan secara am. Bagi kami, sokongan penonton terhadap filem tempatan amat penting dalam usaha memastikan filem Melayu terus ‘bernafas’.”   

Penerbit Eksekutif Director Think Tank Priya Narayanan berkata mereka rasa berbesar hati dapat bekerjasama dengan penerbit Astro Shaw yang semakin mendapat kepercayaan penonton tempatan serta penggiat filem dalam dan luar negara.

“Menerusi asset-aset di bawah Astro, kami pasti filem ini mampu menarik perhatian penonton untuk ke pawagam. Melalui filem PUSAKA, penonton boleh melihat sebuah naskhah baru dan segar gabungan genre seram, penyiasatan dan aksi. Ini adalah kombinasi yang segar dan belum pernah diketengahkan di dalam industri perfileman tempatan.

“Kami berharap filem ini mampu menjadi perubahan arus perfileman tempatan dalam memenuhi selera penonton,” katanya.

Filem PUSAKA teleh menelan belanja sebanyak RM2 juta dan telah menjalani penggambaran selama 30 hari.

Melalui naskah ini juga, pihak penerbit berjaya mendapatkan khidmat komposer berpengalaman Dato’ Wah Idris untuk menghasilkan lagu tema filem PUSAKA bertajuk ‘Kejam’ dan dinyanyikan oleh Siti Nordiana.

Advertisement