Anda di sini

SOPB derma cermin mata kepada 164 penduduk Balingian

Advertisement
 Henry memakaikan cermin mata kepada salah seorang penerima.
USAHA MURNI: Henry memakaikan cermin mata kepada salah seorang penerima.

MIRI:  Seramai 164 penduduk Balingian menerima sumbangan cermin mata percuma daripada Sarawak Oil Palms Berhad (SOPB) menerusi projek Vision Care pada 16 Oktober lalu.

Projek tanggungawab sosial korporat (CSR) itu dilancarkan pada 2013 dan diadakan setiap tahun untuk masyarakat di sekitar kawasan operasi syarikat.

Inisiatif ini diharap dapat mengurangkan masalah penglihatan dan buta dalam kalangan penduduk khasnya di kawasan luar bandar.

Masyarakat termasuk warga emas diberi peluang menjalani pemeriksaan mata mereka tanpa perlu pergi jauh ke bandar.

Aktiviti sama telah diadakan pada Ogos lalu disertai penduduk daripada sembilan rumah panjang dan enam kampung di Balingian.

Seramai tujuh daripada 164 penerima yang didiagnos mengalami masalah penglihatan serius, akan menjalani pemeriksaan lanjutan dan rawatan di Hospital Mukah dan Hospital Bintulu.

Kesemua kos melibatkan sokongan logistik, rawatan perubatan dan pembedahan akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat.

Hadir menyampaikan sumbangan ialah Pengurus Kanan Estet Jacky Teo dan Pengurus Estet Henry Menggong.

Turut hadir Penghulu Shahdan Shahari dan Kaunselor Elizabeth Payung Jakong.

Advertisement