Anda di sini

Satu maut, empat cedera kereta bertembung di Pulau Bruit

Keadaan kedua-dua kenderaan yang remuk teruk di bahagian hadapan.

SIBU: Seorang lelaki terbunuh manakala empat lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Kut, Pulau Bruit, Daro, hari ini.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak,anggota dari Ketua Balai Bomba dan Penyelamat yang diketuai Mohd Nor Abdullah dikerahkan ke lokasi susulan menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.29 pagi.

Katanya, kemalangan tersebut dilaporkan berlaku apabila sebuah kereta yang membawa tiga penumpang termasuk pemandu bertembung dengan sebuah lagi kereta jenis sama dinaiki dua orang penumpang.

"Insiden pertembungan tersebut menyebabkan seorang penumpang salah sebuah kereta tersebut yang dikenali sebagai Mohd Hamzah Saat, 48, dan berasal dari Kampung Jemoreng, Matu meninggal dunia.

"Empat lagi mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan bantuan dari orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Kesemua mangsa terbabit kemudian dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan dengan menaiki ambulans.

Manakala mayat mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.