Anda di sini

PKR Sarawak sasar lebih ramai calon wanita pada PRN12

Advertisement
Kelihatan pemimpin PKR negeri dan pusat bersama ahli PKR Baram menunjukkan tanda bagus pada Majlis Makan Malam Amal Mengumpul Dana Wanita Keadilan Baram di sini malam tadi.
Kelihatan pemimpin PKR negeri dan pusat bersama ahli PKR Baram menunjukkan tanda bagus pada Majlis Makan Malam Amal Mengumpul Dana Wanita Keadilan Baram di sini malam tadi.

MIRI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wanita Sarawak menyasar untuk meletakkan seorang calon wanita bagi bertanding di Baram pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 yang diramalkan pada tahun 2021.

Ketua PKR Wanita Sarawak Nurhanim Datuk Mokhsen berkata calon wanita berkenaan kemungkinan akan diletakkan di DUN Telang Usan, DUN Marudi atau DUN Mulu.

"Kita amat berharap agar lebih ramai calon wanita diketengahkan dalam pilihan raya akan datang termasuk menyasarkan untuk meletakkan seorang calon wanita di Baram," katanya Majlis Makan Malam Amal Mengumpul Dana Wanita Keadilan Baram di sini malam tadi.

Nurhanim berkata ia selaras dengan hasrat PKR Wanita Sarawak untuk meletakkan kuota 30 peratus calon wanita bagi PKR Sarawak pada pilihan raya akan datang.

"Wanita juga mempunyai peranan dan hak untuk membuat keputusan bahkan selama ini golongan wanita banyak membantu dalam jentera pilihan raya.

Sehubungan itu, kita juga mahu agar golongan wanita ini diberikan peluang untuk menjadi calon pada PRN Sarawak termasuk meletakkan seorang calon di Baram," jelasnya.

PKR Wanita Sarawak juga katanya menyasarkan untuk menubuhkan 31 cabang wanita di seluruh negeri ini pada pertengahan 2020 bagi memantapkan lagi peranan wanita dalam parti di peringkat akar umbi.

Untuk rekod, PKR Wanita Sarawak ketika ini mempunyai 22 cabang Wanita termasuk yang akan ditubuhkan di Tanjung Manis tidak lama lagi.

“PKR Wanita Sarawak juga merancang untuk menubuhkan dua lagi cabang wanita masing-masing di Santubong dan Selangau," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jawatankuasa  Pilihanraya PKR Negeri Sarawak, Baharuddin Datuk Mokhsen berkata permintaan itu akan dipertimbangkan termasuk menilai faktor calon boleh menang.

"Kita mempertimbangkan permintaan untuk menampilkan 30 peratus calon wanita dan peluang kemenangan seseorang calon itu dan kita akan bersedia lebih awal mempersiap jentera pilihanraya," ujarnya.

Baharuddin berkata tanpa jentera atau pasukan yang mantap, maka sasaran PKR untuk menang dalam PRN kelak akan gagal mencapai matlamatnya.

"Tugasan saya adalah untuk mempersiapkan jentera pilihan raya kerana kita tidak boleh menang tanpa jentera yang mantap serta memastikan jentera ini berjalan lancar pada kempen pilihan raya," katanya.

Baharuddin juga mengingatkan kepada semua ahli PKR Sarawak agar fokus untuk menang serta mengubah lanskap pentadbiran kerajaan negeri yang ada sekarang.

Hadir sama ialah Timbalan Speaker DUN Selangor Dr Daroyah Alwi; Pengerusi Jawatankuasa Dasar Rumah Panjang Negara yang juga Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju; Setiausaha Politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nor Hizwan Ahmad dan pemimpin PKR yang lain.

  • oleh
  • Advertisement