Anda di sini

Pertandingan silat disaran diperluas ke seluruh bahagian di Sarawak

Advertisement
 Dr Annuar menyampaikan hadiah kepada juara untuk kategori Masal pada Majlis Penutupan Pertandingan Silat dan Upacara Penyampaian Hadiah Pertandingan Silat Keris Naga Kilat dan Piala Pusingan Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg sempena Temasya Warisan OKSHE di Padang Merdeka, Kuching, semalam.
TAHNIAH: Dr Annuar menyampaikan hadiah kepada juara untuk kategori Masal pada Majlis Penutupan Pertandingan Silat dan Upacara Penyampaian Hadiah Pertandingan Silat Keris Naga Kilat dan Piala Pusingan Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg sempena Temasya Warisan OKSHE di Padang Merdeka, Kuching, semalam.

KUCHING: Pihak penganjur Pertandingan Silat Keris Seni Naga Kilat dan Piala Pusingan Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg yang diadakan sempena Temasya Warisan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) di sini, disarankan supaya memperluaskan program itu ke bahagian lain di negeri ini.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee berkata, langkah itu dilihat bertepatan dalam usaha memartabatkan dan memperkenalkan khazanah warisan atau budaya sesebuah kaum kepada kaum lain.

“Khazanah masyarakat Melayu Sarawak seperti ini bukan sahaja tertumpu di Kuching, sejarahnya lebih daripada itu.

“Oleh sebab itu, saya sarankan agar majlis seumpama ini diperluaskan lagi ke seluruh bahagian negeri Sarawak dengan turut melibatkan masyarakat lain agar mereka dapat mengenali budaya kita dengan lebih dekat lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penutupan Pertandingan Silat dan Upacara Penyampaian Hadiah Pertandingan Silat Keris Naga Kilat dan Piala Pusingan Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg sempena Temasya Warisan OKSHE di Padang Merdeka di sini, semalam.

Terdahulu dalam ucapanya, Dr Annuar yang memuji penganjuran acara itu, menggesa agar program tersebut dikekalkan terutama masyarakat Bumiputera di Sarawak.

“Meskipun kita berbilang bangsa, etnik dan agama tetapi sesuatu bangsa itu harus mempertahankan warisannya dengan tidak sesekalipun mempertikaikan warisan bangsa lain.

“Itulah hakikatnya negeri Sarawak. Biarpun kita berbilang bangsa tetapi kita sama-sama dapat mempertahankan dan mempertingkatkan khazanah warisan ini demi masa depan anak-anak kita supaya terus memahami dan mengumpul sejarah silam untuk kebaikan pada masa depan,” katanya.

Mengenai seni silat, beliau mencadangkan agar semua sekolah di seluruh negeri ini menubuhkan Kelab Seni Silat sebagai usaha membantu meningkatkan disiplin dalam kalangan pelajar.

Kata beliau, pada mulanya seni silat dipelajari untuk mempertahankan diri tetapi sekarang ia menjadi suatu aktitiviti yang bukan sahaja meningkatkan disiplin bahkan dapat menjauhkan golongan belia daripada terlibat dalam gejala sosial.

“Jadi, saya percaya dengan penubuhan Kelab Seni Silat pada peringkat awal di sekolah rendah mahupun menengah sudah tentu dapat membantu pelajar kita mempunyai disiplin yang cukup tinggi dalam kalangan mereka,” katanya.

Sementara itu, Dr Annuar yang juga Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan mengingatkan rakyat Sarawak supaya terus bersatu padu dengan bangsa lain demi mengekalkan keharmonian sedia ada.

Pada majlis itu, sebanyak lapan perguruan silat dari negeri ini menyertai pertandingan yang terbahagi kepada tiga kategori.

Pertandingan itu dianjurkan oleh Persilatan Angkatan Gerak Hati 12 dengan kerjasama OKSHE, Persatuan Kesenian dan Warisan Melayu Kuching (KEWARISMA) dan Rumpun Seni Silat Wilayah Kuching.

Hadir sama, Pengerusi Bersama Temasya OKSHE 2019 Abdul Yakup Norshen dan Pengerusi Perguruan Angkatan Gerak Hati 12 Mohd Abdul Rahman Adenan.

Advertisement