Anda di sini

Penggunaan teknologi hijau dalam pengurusan sisa pepejal di Kunak

Advertisement
 Shafie (tengah) menyempurnakan gimik perasmian sambil disaksikan Jaujan (kiri) dan Mursidi.
RASMI: Shafie (tengah) menyempurnakan gimik perasmian sambil disaksikan Jaujan (kiri) dan Mursidi.

KOTA KINABALU: Sistem teknologi hijau akan diguna pakai dalam pengurusan sisa pepejal di Kunak.

Untuk tujuan itu, Kerajaan Sabah membenarkan satu kawasan berkeluasan 70 ekar dijadikan tapak dan ia bukan saja untuk keperluan daerah Kunak, tetapi juga bagi pengurusan sisa pepejal daerah Semporna dan Lahad Datu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong, berkata kaedah sedemikian bukan sahaja dilaksanakan di kawasan berkenaan, tetapi bakal diperluas ke seluruh daerah di Sabah.

"Pengurusan sisa pepejal atau sampah perlu dilakukan dengan baik agar mampu menghasilkan pendapatan.

"Sekiranya tidak diurus dengan baik, ia boleh memudaratkan alam sekitar dan kesihatan manusia," katanya ditemui selepas Majlis Persidangan Perancangan Negeri Sabah Sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia 2019, di sini semalam.

Beliau berkata, sisa pepejal seperti plastik, kertas dan sebagainya mampu menjana pendapatan sekiranya dikitar semula. Istilah membuang sampah tidak lagi releven.

"Seminar yang diadakan hari ini penting kepada kita seperti mana saranan Ketua Menteri bahawa dalam usaha membangunkan Sabah, beliau melihat soal perancangan sebelum ini kurang teratur.

"Sebab itu kita adakan seminar seumpamanya yang dilaksana Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah (JPBW) agar mampu mengilhamkan konsep sesuai dengan hala tuju Kerajaan Sabah seperti dalam perancangan perumahan atau komersial," katanya.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, Sabah mempunyai alam persekitaran menarik dan perlu dikekalkan.

Katanya, pembangunan harus dilakukan secara teratur dan seminar seumpamanya baik kepada semua pihak pemegang taruh khususnya JPBW dan masyarakat secara umumnya.

"Seminar ini juga  melibatkan semua 25 Pihak Berkuasa Tempatan agar perancangan yang baik dapat diamalkan di daerah masing-masing," katanya.

Majlis itu dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Hadir sama ialah Pengarah JPWB Haji Mursidi Haji Sapie.
 

  • oleh
  • Advertisement