Anda di sini

Pelajar SMK Sacred Heart diseru untuk mencontohi sifat mulia Clement Hii

 Teo (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Hii pada ‘Speech Day’ SMK Sacred Heart 2019 di Sibu, kelmarin.
TERIMALAH: Teo (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Hii pada ‘Speech Day’ SMK Sacred Heart 2019 di Sibu, kelmarin.

SIBU: Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart Sibu David Teo Wu menyeru pelajarnya mencontohi sifat mulia yang ada pada Pengerusi Eksekutif Kumpulan HCK Tan Sri Clement Hii kerana perihatin akan pembangunan akademik dan infrastruktur sekolah itu.

Berucap pada majlis 'Speech Day 2019' di sini kelmarin, Teo menyifatkan Hii selaku tetamu kehormat pada majlis itu sebagai seorang yang telah banyak menyumbang kepada alma maternya.

"Untuk makluman para ibu bapa dan guru, jumlah terkumpul sumbangan berbentuk insentif kepada pelajar dan guru cemerlang daripada Tan Sri (Clement Hii) adalah sebanyak RM339,850, tidak termasuk 60 komputer riba, dua kereta dan jutaan ringgit dalam bentuk biasiswa sejak 16 tahun lalu.

"Malah, untuk penganjuran Speech Day 2019 pada hari ini, sebanyak RM28,210 dan lima komputer riba telah disumbangkan oleh beliau," dedahnya sambil berterima kasih kepada Hii yang juga Naib Pengerusi II Ahli Lembaga Sekolah.

Katanya lagi, kejayaan menganjurkan pelbagai pertandingan dan program untuk para pelajar juga banyak dibantu oleh semua ahli lembaga pengarah, guru, ibu bapa dan pelbagai pihak lain.

Jelasnya, penganjuran pelbagai bentuk pertandingan menjadi platform terbaik untuk menguji tahap intelektual serta kemahiran pelajar dalam bidang yang mereka pelajari.

"Pada tahun 2019, sekolah kita telah menyertai dan mengadakan pelbagai perancangan, projek dan pertandingan di semua peringkat.

"Sekolah ini terus mencapai kecemerlangan dalam aktiviti kokurikulum sama ada di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.

"Pelajar kita membawa banyak kejayaan dan mengharumkan nama sekolah. Mereka menunjukkan usaha gigih untuk memberikan satu keputusan tanpa tandingan," ujarnya.

Di samping itu, Teo turut memberitahu bahawa SMK Sacred Heart juga kini terkenal dengan kecemerlangannya dalam bidang akademik terutama berkaitan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Katanya, Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) sekolah tahun lepas adalah 3.46 dengan 70 peratus calon STPM mereka mendapat sekurang-kurangnya 2A penuh.

"Manakala 14 pelajar mendapat keputusan 4A penuh dan 100 peratus pelajar tingkatan enam kita layak menyambung pengajian di universiti," katanya.

Hadir sama Naib Pengerusi Ahli Lembaga Sekolah Lau Swee Nguong, Presiden SHOSA Yong King Sung, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Lau Ngi Chuong serta tetamu kenamaan lain.