Anda di sini

Miri perlu banyak acara bertaraf antarabangsa

 Lee (kiri) menyampaikan cendermata unik, berupa gelang masyarakat Orang Ulu kepada Pedro, sambil disaksikan Zin Jean (kanan).
SELAMAT DATANG: Lee (kiri) menyampaikan cendermata unik, berupa gelang masyarakat Orang Ulu kepada Pedro, sambil disaksikan Zin Jean (kanan).

MIRI: Lebih banyak acara bertaraf antarabangsa perlu diadakan di Miri, untuk terus menarik pelancong datang ke bandar raya peranginan ini, di samping meneruskan acara sedia ada.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, melalui acara-acara bertaraf antarabangsa ini, maka Miri mampu menarik tumpuan pelancong asing dari serata dunia.

Berucap semasa merasmikan Festival Zumba Antarabangsa Sarawak yang pertama, di Dewan Suarah Miri di sini, semalam, Lee berkata seperti juga acara bertaraf antarabangsa yang lain, beliau mahu acara itu diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

“Saya mahu acara ini, Festival Zumba Antabangsa Sarawak ini diteruskan lagi pada tahun depan, dengan lebih banyak penyertaan dibuka di peringkat antarabangsa.

“Saya juga mahu melihat lebih banyak peserta dari negara luar khususnya para zin (jurulatih zumba) yang cukup popular dalam persembahan zumba di peringkat antarabangsa, untuk turut datang ke Miri pada tahun depan,” katanya.

Lee juga melahirkan rasa gembira kerana pihak penganjur persembahan zumba di Miri telah menyahut seruan dan cadangan beliau untuk mengadakan persembahan zumba ini dengan lebih besar lagi iaitu festival antarabangsa.

“Hari ini ia menjadi kenyataan dan saya amat gembira melihat ramai para peminat dan pelatih zumba mengambil bahagian, termasuk dari beberapa negara luar seperti Indonesia, Brunei, Filipina, Korea, Republik Dominica dan juga Romania serta dari Semenanjung Malaysia dan Sabah, di samping dari sekitar Sarawak, dengan Miri sebagai tuan rumah atau penganjur acara,” ujar Lee.

Festival Zumba Antarabangsa Sarawak yang pertama pada tahun ini, turut disertai tiga zin zumba yang popular, ZJ Chris dari Korea, Pedro Camacho dari Republik Dominica dan Zes Ana Georgescu dari Romania.

Turut hadir ialah pengerusi penganjur, Zin Jean Wong.