Anda di sini

Ketengahkan bakat anak-anak dalam bidang sukan

 Kelihatan perenang dan guru pengiring daripada SJK (C) Chung Hua Pujut menerima piala dan pingat daripada Lee (tiga kiri, barisan belakang) selepas menjadi juara baharu kategori sekolah rendah Kejohanan Renang Cabaran Piala Datuk Lee Kim Shin di Miri semalam.
JUARA BAHARU: Kelihatan perenang dan guru pengiring daripada SJK (C) Chung Hua Pujut menerima piala dan pingat daripada Lee (tiga kiri, barisan belakang) selepas menjadi juara baharu kategori sekolah rendah Kejohanan Renang Cabaran Piala Datuk Lee Kim Shin di Miri semalam.

MIRI: Ibu bapa yang mula menghidu bakat anak-anak dalam bidang sukan tidak harus membiarkan 'anugerah' tersebut terpendam sebaliknya perlu memberikan sokongan dan galakan.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata bidang sukan juga boleh dijadikan kerjaya profesional yang menjamin masa depan anak-anak.

"Jangan memperlekehkan bidang sukan kerana ramai atlet profesional telah membina masa depan dengan berjaya dalam bidang ini seperti Pandelela Renong dan Datuk Lee Chong Wei," katanya pada Majlis Penutupan Kejohanan Renang Cabaran Piala Datuk Lee Kim Shin di sini semalam.

ADUN Senadin itu memberitahu, jika anak-anak berbakat dalam sukan renang atau bidang sukan lain, maka amat wajar bakat-bakat ini diketengahkan.

"Kemungkinan dengan bakat ini, mereka boleh jadi atlet profesional yang boleh bersaing di peringkat negara dan antarabangsa sekali gus menjanjikan pendapatan lumayan," ujarnya.

Malah tambahnya, bukan hanya menjadi atlet profesional malah menerusi bakat dan pengalaman mereka juga boleh membina kerjaya sebagai jurulatih atau duta produk sukan.

Pada masa sama, beliau memuji inisiatif penganjur mengasah dan menggilap bakat-bakat baharu pada usia muda dalam kejohanan tersebut.

“Kita juga menyasarkan lebih ramai atlet renang berkelas dunia dari Miri dan untuk tujuan itu, kita mahu lebih banyak penyertaan perenang pada edisi akan datang,” jelasnya.

Lee menarik perhatian bahawa Miri merupakan kuasa besar dalam sukan renang selepas melahirkan ramai atlet mewakili negeri.

“Harapan kita adalah untuk melahirkan atlet-atlet pelapis dalam sukan renang kerana ada kalangan atlet kebangsaan tidak lagi beraksi disebabkan foktor usia,” katanya.

Sementara itu, kejohanan itu disertai kira-kira 18 sekolah rendah dan menengah serta peserta jemputan daripada sekolah persendirian.

Kejohanan itu turut menyaksikan SJK (C) Chung Hua Pujut muncul juara keseluruhan kategori sekolah rendah.