Anda di sini

Jambatan terpanjang di Asia siap bulan ini

 Dr Abdul Rahman memotong kek hari jadinya pada Jelajah GPS-PBB di Kampung Sungai Poyan semalam.
RAI BERSAMA: Dr Abdul Rahman memotong kek hari jadinya pada Jelajah GPS-PBB di Kampung Sungai Poyan semalam.

LIMBANG: Projek Jambatan Temburong di Brunei yang bakal menjadi jambatan terpanjang di rantau Asia dijangka siap November ini dan bakal mewujudkan satu lagi pintu masuk utama pengunjung dari Brunei ke daerah Limbang.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, jambatan ini menjadi satu lagi laluan baharu bagi penduduk di Brunei untuk ke Miri dan Lawas di Sarawak dan negeri jiran Sabah.

Beliau berkata, laluan ini akan memudahkan penduduk negara jiran untuk ke Sabah, Miri dan Lawas, selain memasuki Limbang secara harian dan tidak menjejaskan kemasukkan pengunjung ke daerah ini secara drastik walaupun ada kebimbangan Limbang hanya dijadikan transit apabila jambatan ini siap nanti.

“Pembinaan Jambatan Temburong di Brunei menghubungkan Sabah dan Sarawak ini akan mewujudkan satu lagi pintu masuk ke Limbang, selain pintu masuk di Tedungan dan Pandaruan yang digunakan sekarang,” katanya ketika ditemui media pada Jelajah  Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Kota Zon SK Sungai Poyan di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Wanita PBB Bukit Kota Nonnimarlini Abdullah, Ketua Pemuda PBB SK Sungai Poyan Ronny Jumat, Ketua Wanita PBB SK Sungai Poyan Nur Shahizah Abdullah dan wakil Ketua Zon SK Sungai Poyan Kamis Aji.

Jambatan Temburong sepanjang 30 kilometer itu menyambungkan Mengkubau dan Sungai Besar di daerah Brunei-Muara ke Estet Labu di daerah Temburong.

Jambatan ini yang turut menghubungkan bahagian Sarawak, Miri, Lawas dan Sabah memakan kos B$1.6 bilion dan akan diiktiraf sebagai jambatan terpanjang di Asia Tenggara dan keenam di dunia.

Dengan adanya jambatan ini, perjalanan ke Kota Kinabalu akan menjadi lebih pendek.

Sekarang ini, kedua-dua daerah itu dipisahkan oleh daerah Limbang dan Teluk Brunei.

Pembinaan jambatan tersebut yang bermula pada 2014 dijangka siap pada November ini.

ADUN Bukit Kota itu berkata lagi, pada masa ini pintu masuk di Tedungan mengalami kesesakan teruk terutama pada musim perayaan dan dengan siapnya jambatan Temburong ini nanti, laluan ini  dapat mengalihkan aliran trafik melalui Pandaruan.

“Kerajaan akan melihat dulu bagaimana kesannya terhadap bandar Limbang apabila jambatan ini siap digunakan nanti,” ujarnya.

Jelas Dr Abdul Rahman lagi, jambatan itu bakal meningkatkan aktiviti di Limbang.

“Oleh itu golongan peniaga perlu mengambil peluang dengan memperbanyakkan produk tempatan untuk menarik kemasukan pengunjung dari Brunei.

Menurutnya, Limbang kaya dengan sumber produk hutan yang boleh dimanfaatkan golongan petani untuk meningkatkan hasil keluaran hutan seperti daun ‘nyirik’, pegaga dan produk hutan lain.

Terdahulu katanya, kerajaan di bawah GPS mempunyai struktur pentadbiran kukuh dalam memastikan momentum pembangunan dilaksanakan demi keperluan rakyat negeri ini.