Anda di sini

HIKMAH Sarawak mahu laksanakan transformasi tadika

 Abdul Rahman menyampaikan sijil tamat belajar kepada salah seorang kanak-kanak tadika berkenaan yang akan melangkah ke tahun satu pada 2020.
TAHNIAH: Abdul Rahman menyampaikan sijil tamat belajar kepada salah seorang kanak-kanak tadika berkenaan yang akan melangkah ke tahun satu pada 2020.

MIRI: Harakah Islamiah (HIKMAH) Sarawak berhasrat mengubah pendidikan di setiap tadika yang dikendalikannya, di negeri ini untuk menyediakan penyampaian pendidikan akademik dan agama yang komprehensif.

Timbalan Pengerusi HIKMAH Sarawak Temenggung Datuk Abdul Rahman Fadzail berkata transformasi itu melibatkan kurikulum sedia ada termasuk kemudahan di setiap Tadika HIKMAH di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada upacara konvokesyen ke-35 yang melibatkan sejumlah 127 kanak-kanak daripada enam Tadika HIKMAH di Bahagian Miri di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

“Inilah hasrat kami, untuk mengubah pendidikan yang disediakan oleh HIKMAH di negeri ini bagi melahirkan modal insan yang luar biasa termasuk dalam bidang kerohanian dan agama, di samping akademik,” tambahnya.

Oleh itu, beliau menegaskan bahawa kajian akan dijalankan termasuk meningkatkan kedua-dua kemudahan pengajaran dan pembelajaran serta infrastruktur untuk masa depan kanak-kanak dan pembangunan pendidikan agama di negeri ini.