Anda di sini

BERSATU berterima kasih kepada KM bantu pelajar sukar bayar balik PTPTN

JAZIRI ALKAF ABDILLAH
JAZIRI ALKAF ABDILLAH

KUCHING: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sarawak berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana mahu membantu pelajar negeri ini yang menghadapi kesukaran membayar balik pinjaman pendidikan mereka dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pengerusinya Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata, kesudian Abang Johari itu sedikit sebanyak membantu PTPTN mengurangkan beban hutang yang ditanggung akibat keengganan pelajar sebelum ini membayar balik penjiman pendidikan mereka.

“Ini sekali gus boleh menjamin pinjaman pendidikan dapat diteruskan kepada pelajar lain yang memerlukan manakala kapasiti peminjam tidak dikurangkan akibat pusingan wang yang terjejas,” katanya menerusi kenyataan akhbar semalam.

Pada Sabtu, Abang Johari pada Sesi Town Hall #TanyakAbangJo sempena Progam Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2019 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur berkata, kerajaan negeri akan membantu anak-anak Sarawak membayar balik PTPTN bagi meringankan beban kewangan mereka.

Beliau berkata kabinet negeri telah membincangkan perkara ini baru-baru ini dan akan mencari dana bagi tujuan berkenaan.

“Cuma buat masa ini, kita masih mencari mekanisme terbaik sama ada kita beri dana khas kepada peminjam untuk mereka bayar balik hutang PTPTN mereka.

“Bagi masa dalam tempoh enam bulan untuk kita mencari formula supaya anak Sarawak tidak susah untuk membayar hutang,” ujar Abang Johari.

Sementara itu, Jaziri berkata siri Jelajah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang baharu selesai di beberapa daerah termasuk di pedalaman Sarawak antaranya Bintulu, Julau, Mukah dan Belaga ternyata memberi impak besar kepada penduduk luar bandar mengenai kepentingan menabung demi masa depan lebih baik untuk anak-anak mereka.

Menurutnya, ketika ini PTPTN lebih menumpukan kepada usaha memberi kesedaran kepada  ibu bapa mengenai kepentingan menabung pada peringkat awal SSPN supaya anak-anak mereka tidak terbeban dengan hutang pendidikan apabila melanjutkan pelajaran kelak.

“Usaha PTPTN dengan kerjasama BERSATU Sarawak dalam siri Jelajah SSPN Sarawak ini diharap dapat membantu memberi kesedaran, menabung sejak awal usia adalah langkah terbaik bagi menjamin masa depan anak-anak kita apabila berjaya melanjutkan pelajaran pada masa depan.

“Kita tidak mahu anak-anak kecil ini terpaksa mengikut jejak langkah abang-abangnya yang terpaksa berhutang pada kadar agak tinggi demi kerana melanjutkan pelajaran di peringkat universiti atau kolej,” katanya.

Jaziri berkata SSPN merupakan satu skim atau pelan simpanan yang direka oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi.

Ia jelasnya telah ditambah baik kepada SSPN-i Plus yang dilengkapi perlindungan takaful yang murah dan komprehensif.

“SSPN-i Plus mengguna pakai konsep simpanan secara tetap setiap bulan dan jumlah simpanan adalah bergantung kepada pakej yang dipilih,” katanya.