Anda di sini

Bantahan terhadap projek perumahan akan disiasat

Advertisement

PADAWAN: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) akan menyiasat aduan yang dibuat sekumpulan penduduk di Batu Kawa di sini yang membantah projek perumahan baharu yang dirancang dibangunkan di kawasan taman perumahan mereka.

Timbalan Pengerusi MPP Kaunselor Datuk Ahmad Ibrahim berkata, setakat ini beliau masih tidak mempun-yai maklumat terperinci mengenai bantahan tersebut terutama lokasi sebenar perumahan kumpulan penduduk tersebut.

“Saya perlu lokasi sebenar taman dan perumahan tersebut kerana jika ia adalah milik persendirian, MPP tidak ada kuasa ke atas tanah tersebut atau menghalang pemiliknya daripada membangunkan kawasan tersebut.

“Jika ia dalam tanah kerajaan atau di bawah bidang kuasa MPP, baharulah kita boleh mengambil tindakan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara ini semalam.

Terdahulu Ahmad hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang acara Cabaran Padawan Borneo Highland Nature 2019 di kaki bukit Borneo Highland Resort di sini.

Dalam pada itu, kelmarin sekumpulan 46 penduduk yang dimaksudkan ini membantah sebuah taman terbiar dalam kawasan perumahan mereka dibangunkan sebagai kawasan perumahan baharu.

Difahamkan aduan telah dibuat kepada MPP banyak kali namun tiada maklum balas daripada MPP lantas mereka meminta bantuan daripada DAP.

Apa yang menjadi kebimbangan penduduk ialah taman yang telah terbiar selama satu atau dua tahun itu menjadi lokasi bagi kegiatan tidak berfaedah.

Justeru penduduk mahu taman tersebut dibaik pulih oleh pihak MPP untuk kegunaan penduduk dan bukannya dibangunkan bagi tujuan perumahan baharu.

Ahmad dalam pada itu berkata penduduk sepatutnya membuat aduan menerusi saluran yang betul terus kepada MPP dan bukannya DAP meskipun itu hak mereka.

“Kita ada Kaunselor Wilfred Yap yang aktif mengetuai Biro Aduan SUPP dan apa-apa permasalahan penduduk boleh rujuk kepada beliau.

“Jika permasalahan tersebut bukan di bawah bidang kuasa MPP, kita akan maklumkan kepada pihak yang berkenaan,” katanya.

Berhubung masalah lumba haram di kawasan yang sama, Ahmad berkata MPP tidak boleh membina bonggol sesuka hati tanpa persetujuan para penduduk.

Bagaimanapun katanya, MPP akan lihat masalah ini dan meminta penduduk menulis kepada MPP untuk tindakan sewajarnya.

  • oleh
  • Advertisement