Anda di sini

Setiap individu berperanan bantu cegah kejadian bunuh diri

Advertisement
 Teo (tiga, kiri) memalu gong sebagai simbolik merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Daerah Sandakan.
RASMI: Teo (tiga, kiri) memalu gong sebagai simbolik merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Daerah Sandakan.

SANDAKAN: Setiap individu berperanan menghulurkan bantuan terhadap sesiapa sahaja yang dikenalpasti mempunyai niat ke arah membunuh diri.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata, antara bantuan yang boleh diberikan termasuk memberi sokongan dan motivasi untuk mereka mengharungi cabaran hidup.

"Kita boleh ambil peduli keluhan mereka secara serius, ambil masa untuk mendengar, tunjukkan sokongan dan empati, memastikan mereka berasa selamat dan bantu mereka seadanya.

"Jika keadaan ini di luar kawalan atau kemampuan diri, dapatkan bantuan yang sewajarnya daripada unit psikologi, kaunseling atau psikiatri.

"Ini adalah tindakan yang lebih wajar untuk mereka yang mempunyai simptom-simptom gangguan mental sama ada kemurungan atau stress," katanya sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Daerah Sandakan di Dewan Tun Abdul Razak, SMK Merpati di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pegawai Khas Ahli Parlimen Sandakan, Teo Chee Kim.

Hadir sama, Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan, Dr. Haji Johari Awang Besar, Pengarah Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan, Dr. Francis Paul dan Ketua Jabatan (Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental HDOK Sandakan), Dr Ahmad Faizal Shamsuddin@Suddin.

Mengulas lanjut, beliau berkata usaha Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HDOK Sandakan bersama Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai pencegahan bunuh diri amatlah dihargai.

Dengan itu, katanya masyarakat akan lebih prihatin terhadap isu kesejahteraan mental.

Beliau juga menggesa individu yang mengalami gangguan emosi atau perasaan supaya tidak malu untuk tampil mendapatkan bantuan dengan segera.

Hari Kesihatan Mental Sedunia disambut pada setiap 10 Oktober sejak 1992 dan tema pada tahun ini adalah 'Bersama Mencegah Bunuh Diri'.

Untuk rekod, laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan lebih 800,000 orang di seluruh dunia membunuh diri dalam setiap 40 saat.

Dan, bagi setiap kejadian bunuh diri, dianggarkan terdapat lebih daripada 20 kes cubaan bunuh diri.

  • oleh
  • Advertisement