Anda di sini

RM320 ribu bantuan pembangunan untuk enam koperasi

Advertisement
 Penerima-penerima bantuan pembangunan merakamkan gambar bersama Madius (enam dari kiri).
KENANGAN: Penerima-penerima bantuan pembangunan merakamkan gambar bersama Madius (enam dari kiri).

KOTA KINABALU:  Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyampaikan bantuan pembangunan bernilai RM320,000 kepada enam koperasi di Sabah.

Bantuan tersebut diberikan kepada koperasi-koperasi yang terlibat dalam bidang peruncitan dan pemborongan untuk membantu membiayai kos pembinaan dan operasi kedai.

Penerima bantuan tersebut ialah Koperasi Keluarga Bagudat Said Semporna Bhd sebanyak RM100,000, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Gaya Bhd RM80,000, Koperasi Wanita Dinazang Inovatif Kudat Berhad RM60,000, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Pitas Berhad RM30,000, Koperasi Kampung Luanti Baru Keningau Berhad RM30,000 dan Koperasi Sekolah Menengah St. Francis Convent Kota Kinabalu Berhad RM20,000.

Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Majlis Perasmian Satu Daerah Satu Industri (SDSI) anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan di sini, kelmarin.

Shafie dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh Madius berkata, kerajaan komited meningkatkan bilangan usahawan yang berkualiti, berdaya saing, berdaya tahan, berfikiran global dan kompetitif, selain mempertingkatkan keupayaan usahawan tempatan dan industri kecil dan sederhana (PKS).

"Di Sabah jumlah koperasi yang telah berdaftar dengan SKM terus meningkat daripada 1,150 buah koperasi pada tahun 2014 kepada 1,524 buah pada tahun 2018 dengan keanggotaan seramai 302,513 orang.

"Manakala modal syer koperasi berjumlah RM189 juta dengan aset bernilai RM890 juta.

"Pencapaian dan peranan yang dimainkan oleh gerakan koperasi amat perlu diperkasakan.

"Konsep kerjasama dalam berkoperasi menjadi tunjang kepada penyatuan rakyat pelbagai kaum merentasi sempadan agama, bangsa dan perbezaan ideologi.

"Oleh yang demikian, saya menyeru kepada rakyat Sabah supaya menggerakkan lagi peranan koperasi agar lebih agresif dan berdaya saing untuk menghadapi cabaran global yang memerlukan daya tahan di samping mampu melaksanakan transformasi sekaligus dapat meningkatkan imej, visibility serta keyakinan masyarakat terhadap koperasi," jelasnya.

Tambah Shafie, kerjaan akan terus memberikan sokongan dan komitmen terhadap apa jua inisiatif bagi membudayakan keusahawanan.

Apa yang penting ujarnya, usaha berkenaan perlu disusuli dengan perancangan rapi dan tindakan yang berkesan untuk dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Wira DR Mohd Hatta Md Ramli, Setiausaha Persekutan Sabah, Datuk Samsuni Mohd Nor dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

  • oleh
  • Advertisement