Anda di sini

Pemilihan Ketua Cabang PKR Tanjung Manis 3 Nov, ahli diseru keluar mengundi

Advertisement
Aditajaya (tengah) semasa sidang media pada Sabtu.
Aditajaya (tengah) semasa sidang media pada Sabtu.

SIBU: Calon jawatan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) P206 Tanjung Manis Datuk Seri Abang Aditajaya Abang Alwi menyasarkan kira-kira 50 hingga 60 peratus ahli keluar mengundi pada Pemilihan Ketua Cabang Keadilan Tanjung Manis, 3 November ini.

Menurutnya, sejumlah 1,350 ahli baharu berjaya didaftarkan oleh beliau bersama pasukannya sepanjang lapan bulan bertapak di kawasan tersebut.

"Sehingga 29 September ini, PKR Cabang Tanjung Manis kini mempunyai lebih 2,230 ahli yang berdaftar.

"Pemilihan cabang Tanjung Manis juga adalah yang ke-222 dan yang terakhir di seluruh negara, selepas pemilihan cabang Igan baru-baru ini," katanya dalam sidang media di Sibu, pada Sabtu.

Aditajaya yang juga Pengerusi Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Sarawak berkata Majlis Pencalonan Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Tanjung Manis akan berlangsung hari ini dari 10 pagi hingga 5 petang di Pejabat Keadilan Cabang Tanjung Manis.

Beliau berkata, tempoh berkempen adalah selama 13 hari selepas tarikh pencalonan iaitu 21 Oktober hingga 2 November.

"Jadi saya berharap ahli-ahli kita akan keluar mengundi beramai-ramai pada hari pemilihan nanti bagi memilih pemimpin yang boleh berkhidmat kepada ahli," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan beberapa inisiatif untuk ahli PKR di Tanjung Manis sekiranya beliau menang jawatan ketua cabang.

Antaranya adalah penubuhan Koperasi Tanjung Manis Berhad, penubuhan Yayasan Tanjung Manis dan bantuan kilat Tanjung Manis untuk ahli.

"Kita juga tampil dengan inisiatif bantuan guaman percuma untuk ahli, bantuan harapan Tanjung Manis, bantuan persekolahan, bantuan perniagaan untuk ahli Industri Kecil dan Sederhana, bantuan pertanian, bantuan nelayan, bantuan lanjut pengajian ke universiti, penubuhan akademi bola sepak Tanjung Manis dan penubuhan Pusat Digital Tanjung Manis," katanya.

Beliau juga turut menjemput orang ramai untuk meletak '#TeamAbangAdi' sebagai tanda sokongan kepada beliau sebagai calon Ketua Cabang PKR Tanjung Manis.
 

  • oleh
  • Advertisement