Anda di sini

Nelayan Lahad Datu dalam dilema, diarah tidak ke laut waktu malam

Advertisement
ESKIN
ESKIN

LAHAD DATU: Persatuan Nelayan Kawasan Lahad Datu dalam dilema setelah menerima arahan terkini melarang mereka ke laut pada waktu malam.

Pengerusinya, Eskin Berahim berkata beliau telah dipanggil ke Balai Polis Lahad Datu dan diarahkan agar tidak keluar ke laut menangkap ikan di waktu malam.

"Saya telah dipanggil ke balai polis dan diarahkan agar tidak lagi keluar di waktu malam menangkap ikan. Saya tidak tahu sebabnya," katanya ketika menghubungi Utusan Borneo, di sini, kelmarin.

Menurutnya, beliau tidak menerima sebarang arahan berupa dokumen melainkan arahan lisan sahaja.

"Dalam keadaan sekarang, saya risau isu ini akan menjejaskan mata pencarian nelayan-nelayan di sini," katanya.

Eskin seterusnya melahirkan kegusarannya jika arahan serta merta ini dipatuhi, ianya akan memberi impak pada bekalan ikan di pasar ikan yang menjadi sumber makanan harian masyarakat di Lahad Datu.

"Pada waktu malam, biasanya yang akan ke laut di kalangan nelayan yang menggunakan pukat tunda dan jerut.

"Kapal inilah yang setiap hari akan membekalkan hasil tangkapan ikan segar ke pasar untuk orang ramai setiap hari," katanya.

Beliau berharap isu ini diselesaikan kerana jika mengharapkan bekalan ikan dari aktiviti nelayan di waktu siang sahaja ianya tidak akan mencukupi permintaan pasaran.

  • oleh
  • Advertisement