Anda di sini

Nelayan dilapor hilang di Santubong ditemui selamat

Advertisement
Mangsa (kiri) meneguk air bagi menghilangkan rasa dahaga
Mangsa (kiri) meneguk air bagi menghilangkan rasa dahaga

KUCHING: Seorang nelayan lelaki yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat pada Khamis lepas di Pantai Puteri, Santubong dijumpai dalam keadaan selamat hari ini.

Mangsa, Hasrizan Rahman, 28, dijumpai penduduk Kampung Santubong di sebuah pondok terbiar di kawasan Binyuk sekitar pukul 11 pagi. 

Difahamkan, mangsa keluar rumah sejak Khamis menuju ke kawasan hutan di situ untuk mencari buah. 

Berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai terjatuh gaung di kawasan Binyu iaitu beberapa kilometer dari kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Kampung Santubong pada Khamis dan tidak sedarkan diri sehingga tengah hari Jumaat.

Dia ditemui dengan keadaan lemah dan cedera dibahagian pergelangan kaki akibat terkena batu serta banyak kesan gigitan nyamuk di bahagian lengan. 

"Syukur dia dijumpai selamat kerana apa yang membimbangkan kami adalah takut dia dibaham buaya," kata bapa saudara mangsa, Samion mohamad, 62, ketika ditemui di Pusat Gerakan SAR Pantai Puteri, Santubong. 

Samion menitis air mata kesyukuran anak saudaranya dijumpai selamat.
Samion menitis air mata kesyukuran anak saudaranya dijumpai selamat.

Katanya, ketika bersama-sama penduduk kampung mencari mangsa, mereka ternampak bekas tapak kaki buaya. 

"Di sini memang ada buaya, itu yang kita takutkan terjadi apa-apa kepada dia, saya sampai tidak tidur semalaman mengenang nasib dia dan apabila mendengar dia sudah dijumpai selamat saya amat bersyukur," tambahnya. 

Justeru, Samion mengucapkan terima kasih kepada agensi dan jabatan yang terlibat dalam operasi SAR itu termasuk penduduk kampung yang ikut sama mencari mangsa sejak dilaporkan hilang. 

Ekoran mangsa telah dijumpai, operasi SAR dihentikan sekitar 11.30 pagi. 

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapat rawatan lanjut. 

SAR itu melibatkan seramai 30 anggota dan aset bot dari Agensi Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysa, Polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk kampung melibatkan kawasan cari lebih tiga kilometer di sungai, laut dan permukaan berdekatan.

Muka mangsa penuh dengan kesan gigitan nyamuk
Muka mangsa penuh dengan kesan gigitan nyamuk
  • oleh
  • Advertisement