Anda di sini

Mengukuhkan undang-undang: Peranan dan mekanisme parlimen serta sumbangan kerjasama serantau

Advertisement
 Vivian mewakili Ahli Parlimen Muda dan Ahli Parlimen Wanita di Perhimpunan Kesatuan Antara Parlimen dan Mesyuarat Berkenaan di Belgrade, Serbia.
WAKIL: Vivian mewakili Ahli Parlimen Muda dan Ahli Parlimen Wanita di Perhimpunan Kesatuan Antara Parlimen dan Mesyuarat Berkenaan di Belgrade, Serbia.

SANDAKAN: Malaysia komited terhadap peranannya sebagai pemain global dalam menyumbang ke arah peningkatan kesejahteraan dalam prinsip undang-undang antarabangsa, penyatuan konsensus antarabangsa, penubuhan akauntabiliti negara dalam tindakan mereka dan fasilitasi penyelesaian pertikaian yang damai.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata, Malaysia juga merupakan pemain berdaulat dan serantau yang aktif serta relevan dalam proses membuat perjanjian pelbagai hala.

Katanya, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu juga menandakan titik perubahan demokrasi progresif di mana sebuah kerajaan baharu iaitu Pakatan Harapan dibentuk.

"Selepas pilihanraya itu, dilaporkan 40 peratus pemilih adalah golongan muda berusia 21 hingga 39 tahun.

"Ini juga memperlihatkan peningkatan dalam kuasa politik belia yang menandakan bahawa kematangan penduduk yang lebih muda dan kesediaan kita untuk menyumbang kepada masa depan negara.

"Oleh itu, penyertaan belia berpotensi untuk mempengaruhi secara positif dasar negara dan adegan politik Malaysia dalam dekad yang akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa mewakili Malaysia di Perhimpunan Kesatuan Antara Parlimen (IPU) dan Mesyuarat Berkenaan di Belgrade, Serbia.

Vivian dipilih mewakili Malaysia ke mesyuarat itu selaku Ahli Parlimen muda dan Ahli Parlimen Wanita.

Katanya, peluang dan penghormatan yang diberikan kepadanya mewakili Malaysia selaku ahli parlimen muda dan baharu dipilih pada Mei lepas juga sebagai pembuka mata kepadanya menyuarakan aspirasi belia di peringkat global.

Sementara itu, katanya, seperti dilaporkan oleh Kesatuan Antara Parlimen, ahli parlimen di bawah umur 30 tahun di peringkat global juga hanya meningkat 0.3 peratusan mata sejak 2016.

Keseluruhannya, golongan muda di bawah usia 30 tahun hanya membentuk 2.2 peratus daripada 45,000 ahli parlimen di dunia.

Oleh itu, kerajaan harus mempunyai langkah penting di parlimen dalam memperkasakan dan mengiktiraf belia sebagai atau ke dalam badan pembuat dasar.

"Ketika ini, 20 daripada 222 ahli ahli parlimen di Malaysia berusia di bawah 40 tahun dan tiga orang ahli parlimen berusia 30 tahun termasuk saya sendiri," katanya.  

Sejajar dengan fenomena global, sesi Parlimen Malaysia pada Julai juga telah meluluskan dua rang undang-undang mengenai belia yang berkaitan dengan memperkasa penyertaan belia dalam pembangunan negara.

Ini termasuk mentakrifkan umur untuk belia adalah 18 hingga 30 dan menurunkan usia pengundian dari 21 kepada 18 tahun.

Vivian juga hampir mengakhiri usia belia di tahun pertama menjadi ahli parlimen pada tahun ini.

Sementara itu, menerusi ucapan berkenaan lagi, Vivian berkata, penyertaan belia dalam kepemimpinan dan peranan mereka juga adalah sangat penting untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) secara keseluruhan dan khusus untuk lapam sasaran, iaitu untuk mengurangkan kadar belia yang tidak bekerja, pendidikan atau latihan (NEET).

Katanya, penyertaan dalam membuat dasar, strategi dan campur tangan adalah penting.

Ini kerana 51 peratus penduduk dunia berada di bawah 30 tahun, tetapi hanya dua peratus sahaja adalah anggota parlimen dan untuk itu sasaran perwakilan belia mesti diperbaiki.

Mengambil kira pendekatan yang tidak konvensional kepada pembuatan dasar seiring dengan kepelbagaian dunia.

Sementara itu, Vivian juga bangga Malaysia mengambil langkah agresif memperkasa generasi muda.

Katanya, seperti yang dapat kita lihat, peruntukkan juga diberikan untuk program pembangunan belia dibawah Belanjawan 2020 yang baru sahaja dibentangkan Menteri Kewangan Malaysia pada Jumaat minggu lepas.

Malaysia juga katanya telah memecahkan rekodnya apabila Menteri Belia dan Sukan Malaysia merupakan seorang anak muda berusia 25 tahun pada 2018.

Manakala Vivian sendiri yang berasal dari Sabah juga memecahkan rekod dilantik sebagai Ahli Parlimen termuda dan diikuti Menteri Belia dan Sukan Sabah termuda yang dilantik, Ginger Phoong yang berusia 30 tahun pada tahun ini.

"Seperti Puan Pengerusi IPU katakan, belia bukan masa depan kita tetapi masa kini," tambahnya.

Mewakili orang muda ke IPU di Serbia itu, Vivian juga berharap ahli IPU akan memperuntukkan lebih masa untuk belia atau orang muda yang mempunyai banyak idea dan aspirasi untuk dikongsikan.

  • oleh
  • Advertisement