Anda di sini

Mekanik maut, pikap terbabas masuk parit

Anggota bomba berusaha mengangkat mayat mangsa ke permukaan jalan raya
Khidmat bomba digunakan untuk mengeluarkan mangsa dari kenderaan dan seterusnya mengangkat mayat mangsa ke permukaan jalan raya

SIBU: Seorang mekanik maut apabila kenderaan jenis pikap yang dipandu terbabas ke dalam parit di sebuah Ladang Retus di sini pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Wong Chee Keong memberitahu,  polis bergegas ke lokasi susulan menerima maklumat daripada pengurus ladang yang memaklumkan terdapat satu kenderaan terbabas masuk parit di ladang berkenaan sekitar 4.50 petang.

Katanya, mangsa yang dikenali sebagai Chew Chee Hong, 23, berasal dari Sungai Empawah, di sini disahkan meninggal dunia dalam tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kenderaan yang dipandu mangsa bergerak dari arah pondok Polis Bantuan Ladang Retus menuju ke kilang Retus. Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan dipandu hilang kawalan lalu terbabas dan masuk dalam parit.

“Mangsa maut di tempat kejadian dan kes masih dalam siasatan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sibu untuk bedah siasat.

Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.