Anda di sini

JKR sedang meneliti untuk melupuskan kantin SK Siol Kanan yang runtuh 

Dr Annuar menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta pada majlis penutupan Pertandingan Silat dan Upacara Penyampaian Hadiah Pertandingan Silat Keris Naga Kilat dan Piala Pusingan Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg sempena Temasya Warisan OKSHE di Padang Merdeka hari ini
Dr Annuar menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta di Padang Merdeka hari ini


KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan meneliti sama ada untuk melupuskan kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Siol Kanan yang bumbungnya runtuh pada Jumaat lepas.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapa'ee berkata, bagaimanapun JKR akan mengambil masa untuk berbuat demikian.

"Saya dimaklumkan kantin itu tidak selamat untuk diduduki. Ia memang sudah diasingkan dan tidak dapat digunakan lagi.

"JKR sedang meneliti untuk melupuskan blok tersebut. Bagaimanapun prosedur itu mengambil sedikit masa," katanya ketika ditanya media mengenai perkembangan terkini tentang sekolah terbabit.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis penutupan Pertandingan Silat dan Upacara Penyampaian Hadiah Pertandingan Silat Keris Naga Kilat dan Piala Pusingan Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg sempena Temasya Warisan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) di Padang Merdeka di sini, hari ini

Ditanya sama ada sekolah itu termasuk dalam senarai 415 sekolah daif kritikal (D3) di negeri ini, Dr Annuar berkata, beliau tidak pasti mengenai perkara itu.

Menjelas lanjut, beliau berkata, sekolah yang disenaraikan dalam D3 tidak semestinya mengalami kerosakan pada semua blok.

"Ada sekolah yang rosak teruk pada blok tertentu misalnya asrama, kantin, kelas dan bukannnya keseluruhan sekolah," katanya.

Pada 18 Oktober lalu, media melaporkan bumbung kantin di SK Siol Kanan di sini, runtuh kira-kira pukul 12.50 tengah hari.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan kerana kebanyakan murid sudah pulang awal selepas selesai sambutan Hari Sukan sekolah pada hari tersebut.

Penolong Jurutera Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuching, Muhmaad Ariff Adnan dalam laporan Bernama berkata, runuhan dipercayai berlaku kerana terdapat kerosakan pada kerangka konkrit serta kerja-kerja pemasangan pemasangan tidak menepati spesisifikasi 

Beliau mengesahkan sebelum ini pihak sekolah telah melaporkan kerosakan struktur bangunan itu kepada pihaknya sekitar awal bulan ini.

"PPD juga sudah memaklumkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri awal bulan ini mengenai situais  bangunan itu yang perlu dibaiki pada bahagaian bumbung  dalam kerangka bangunan," katanya.