Anda di sini

FDI Sabah dalam landasan tepat, ramai pelabur datang sejak Kerajaan Baharu memerintah

Advertisement
 Shafie menyempurnakan gimik perasmian sambil disaksikan oleh Darell (dua kanan) bersama tetamu kehormat lain.
RASMI: Shafie menyempurnakan gimik perasmian sambil disaksikan oleh Darell (dua kanan) bersama tetamu kehormat lain.

KOTA KINABALU: Sabah kini berada dilandasan positif dalam sektor Pelaburan Langsung Asing (FDI) memandangkan sudah ramai pelabur datang untuk melabur sejak Kerajaan Baharu mengambil alih pemerintahan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, banyak pelaburan sudah dilakukan di Sabah contohnya dalam kilang perabot.

"Saya juga sudah pergi luar negara untuk menarik pelabur datang ke sini, hasilnya pelabur kini melabur dalam kilang perabot serta sektor pelancongan.

"Saya yakin lebih ramai pelabur akan melabur dalam sektor pelancongan, sejak mengambil alih pemerintahan di sini, kita sudah menerima tiga sehingga empat pelaburan dalam perhotelan

"Resort di Lok Kawi membawa pelaburan lebih kurang tiga sehingga empat bilion ringgit. RM300 juta juga dilaburkan untuk pembinaan salah sebuah hotel di sini dan banyak lagi yang sedang dibina," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) 2019, di sini semalam.

Beliau berkata, Kerajaan Sabah akan memantau semua pelaburan yang dilakukan ini dan sekiranya terdapat kelulusan diperlukan tetapi masih belum diluluskan, pihaknya akan mempercepatkan proses berkenaan.

Katanya, sekiranya pelabuhan Kudat berjaya direalisasikan, ianya akan menjadikan Sabah dan Malaysia secara keseluruhan lebih berdaya saing memandangkan lokasinya yang strategik berbanding negara Asia lain di wilayah ini.

Sementara itu, Shafie yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, cadangan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Berhad Tan Sri Tony Fernandes untuk membangunkan Terminal 2 Lapangan Terbang di sini akan diteliti.

Katanya, ianya satu langkah positif untuk membawa lebih banyak pelancong luar negara ke negeri ini.

Mengulas mengenai sambutan Hari MITI 2019, Shafie berkata acara seumpamanya adalah julung kali diadakan di sini dan sudah pasti ianya akan memberikan satu landasan positif terhadap sektor industri di Sabah.

"Kita mempunyai banyak kelebihan di sini yang boleh dimanfaatkan oleh negara ini seperti lokasi strategik, bahan mentah yang banyak, jumlah pekerja yang boleh memberikan jaminan kesuburan industri serta lain-lain.

"Sabah kini menjadi lokasi sangat strategik seterus menjadikan Malaysia cukup berdaya saing berbanding negara lain dalam wilayah ini," katanya.

Menurutnya, Labuan berpotensi dijadikan hab kewangan kepada pelabur asing sekiranya produk-prodak kewangan dapat diperkasakan.

Hadir sama ialah Menteri MITI Datuk Darell Leiking serta tetamu kehormat yang lain.

  • oleh
  • Advertisement