Anda di sini

Berang tidak diberi wang, lelaki Indonesia tikam peniaga hingga maut

Advertisement
Mangsa dijumpai telentang berlumuran darah di sebelah keretanya. 

LIMBANG: Seorang lelaki warga Indonesia yang baharu sehari memasuki bandar ini diberkas selepas disyaki menikam seorang peniaga hingga maut dalam satu pergaduhan di pekan Tedungan, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Ting Kok Khoi, 62, didatangi suspek yang terdesak untuk mendapatkan wang sebagai tambang ke bandar Limbang.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek cuba untuk meminta sedikit wang sebagai tambang untuk ke bandar Limbang namun dimaki hamun mangsa.
 
"Tindakan mangsa membuatkan suspek naik angin dan bertindak menikamnya di bahagian belakang dan badan menggunakan pisau yang dibawanya dari negara jiran," jelasnya dalam satu kenyataannya hari ini. 

Abang Zainal berkata mangsa cuba menyelamatkan diri dengan melarikan diri namun terus dikejar dan diserang oleh suspek.

"Mangsa dijumpai bersebelahan keretanya dalam keadaan terlentang berlumuran darah dengan kesan tikaman di bahagian belakang dan badannya.

"Kita turut merampas pisau pemotong sayur yang digunakan untuk menikam mangsa," katanya.

Menurut Abang Zainal, suspek baharu memasuki Limbang pada Sabtu untuk mencari kerja bagi mendapatkan duit balik ke Indonesia untuk berjumpa keluarga.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
 

  • oleh
  • Advertisement