Anda di sini

238 badan keagamaan, sekolah bukan Islam terima bantuan kerajaan negeri

Advertisement
 Shafie (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan kewangan kepada penerima.
BANTUAN: Shafie (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan kewangan kepada penerima.

KOTA KINABALU: Sebanyak 238 badan-badan keagamaan dan sekolah-sekolah bukan Islam bagi kawasan Pantai Barat Selatan dan Pendalaman Bawah menerima bantuan kewangan daripada kerajaan negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sebanyak 956 badan keagamaan dan sekolah bukan Islam seluruh Sabah telah diluluskan untuk menerima bantuan kewangan kali ini.

Ia terbahagi kepada 665 badan keagamaan seperti gereja-gereja pelbagai denominasi, tokong-tokong serta kuil-kuil dan selebihnya 291 melibatkan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) serta Missions Schools termasuk sekolah-sekolah tadika bukan Islam.

"Saya percaya ada banyak keperluan yang harus diberikan perhatian khususnya melibatkan pembangunan badan-badan keagamaan dan sekolah-sekolah bukan Islam di kawasan luar bandar.

"Untuk itu, kita akan berusaha untuk mencari dana bagi mengatasi masalah tersebut dengan mengambilkira keupayaan kewangan Kerajaan Sabah pada ketika ini.

"Kerajaan Sabah yang baharu ini, sentiasa menekankan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek serta sentiasa membantu rakyatnya. Ini supaya kemakmuran dan kekayaan negeri dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

"Semoga dengan bantuan kewangan yang diagihkan ini sedikit sebanyak akan dapat meringankan beban di dalam membangun dan membaiki rumah-rumah ibadat dan juga sekolah-sekolah demi keselesaan dan manfaat kepada rakyat bukan Islam di negeri ini," jelasnya.

Shafie berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan kepada Badan-Badan Keagamaan dan Sekolah-sekolah Bukan Islam Tahun 2019 di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusuf Yacob, Pembantu Menteri Kewangan merangkap Pengerusi Penganjur, Kenny Chua, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedict dan Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar.

  • oleh
  • Advertisement