Anda di sini

Tingkat kesedaran pendermaan organ

Advertisement
 Dr Christina bersama Dhinagar dan pasukan Pendermaan Organ merakam kenangan bersama pengikrar penderma organ.
ALBUM: Dr Christina bersama Dhinagar dan pasukan Pendermaan Organ merakam kenangan bersama pengikrar penderma organ.

KUDAT: Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi menyeru kepada semua pihak yang belum lagi mendaftar sebagai penderma organ untuk berbuat demikian.

"Perbezaan yang ketara antara keperluan dan bilangan pengikrar mengakibatkan ramai pesakit menunggu lama dan ada yang meninggal dunia sebelum sempat mendapat organ.

"Ekoran ini, ramai pesakit terpaksa mendapatkan organ di luar negara dan lebih buruk lagi, ada pihak yang sanggup menjalankan aktiviti perdagangan organ yang sememangnya bercanggah dengan etika perubatan serta nilai-nilai kemanusiaan," katanya.

Dr. Christina berkata demikian dalam ucapan perasmiannya pada Program Minggu Kesedaran Pendermaan Organ yang dijalankan di Esplanade Sidek Kudat, di sini kelmarin.

Menurutnya, Minggu Kesedaran Pendermaan Organ dijalankan bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendermaan organ kepada masyarakat.

"Program khas Kementerian Kesihatan Malaysia ini dilaksanakan sejak 2010 turut menggalakkan rakyat Malaysia untuk menjadi pengikrar penderma organ dan tisu selepas meninggal dunia.

"Matlamat yang ingin dicapai sempena Sambutan Minggu Derma antaranya mendidik masyarakat tentang kepentingan pendermaan organ, menyampaikan maklumat secara terus kepada masyarakat, meningkatkan tahap boleh lihat (visibility) sebaran maklumat pendermaan organ, memudahkan masyarakat untuk mendaftar sebagai pengikrar penderma organ serta menggalakkan masyarakat untuk berbincang tentang pendermaan organ," katanya.

Turut hadir, Timbalan pengarah kesihatan negeri (pengurusan) Dr Muharrir Kamarudin, Timbalan Pengarah Hospital Kudat Dhinagar Selgal Reddy, Pegawai Pergigian Kanan Kawasan Dr. Zuhty Hamzah dan Pegawai Penerangan Daerah Nadia Lawaji.

Advertisement