Anda di sini

Stage Production pertaruh Teater Malam Jahanam di FTNS 2019

Advertisement
 Pelakon utama Mat Kontan menjiwai watak semasa menjalani latihan lakonan teater.
LATIHAN LAKONAN: Pelakon utama Mat Kontan menjiwai watak semasa menjalani latihan lakonan teater.

TEATER Malam Jahanam bakal dipentaskan di Festival Teater Negeri Sabah (FTNS 2019) anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di Auditorium Kompleks JKKN Sabah pada 20 Oktober.

FTNS 2019 berkonsepkan pertandingan yang memperlihatkan lapan kumpulan berentap bagi merebut gelaran juara terdiri daripada empat kumpulan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan dan empat kumpulan NGO Budaya, masing-masing mewakili daerah Kota Kinabalu, Sandakan, Kudat dan Tawau.

Lapan pementasan teater bertanding termasuk Teater Malam Jahanam (Stage Production), Keranda 199 (Pendeta Kolektif), Surat Sabariah (Srikandi Production), Mencintai Xiang Li (Kencana Kent), Syahid Dukapura (D’Act Production), Kerja Gila (Sukud Kudat), Sabah 2025 (Rusta Tawau) dan Elbis (Borneo Komrad).

Bergenrekan teater eksperimental, naskah ‘Malam Jahanam’ mengisahkan pengkhianatan dan dendam cinta yang berlaku antara tiga watak iaitu Mat Kontan, Faizah dan Sulaiman.

Ketaksuban Mat Kontan terhadap pembelaan burung sering kali mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami kepada isterinya Faizah dan anak mereka yang baru lahir.

Konflik timbul apabila munculnya Sulaiman iaitu jiran dan sahabat baik Mat Kontan.

Dalam memenuhi tuntutan hak masing-masing, ketiga-tiga watak ini menjadikan setiap malam mereka menjadi ‘Malam Jahanam’ yang digaluri dengan plot penceritaan yang saspen.

Arahan Sharifuddin Zainal, naskah ‘Malam Jahanam’ karya asal Motinggo Busye bukti usaha Stage Production dalam memartabat pembudayaan teater di Sabah serta pemangkin kepada pembangunan seni persembahan pementasan yang ilmiah, intelektual dan akademik.

Pengibatan kali ketiga produksi ini dalam FTNS 2019 menyaksikan barisan pelakon yang bakal menjayakan persembahan melalui konteks aspirasi kesenian yang pelbagai termasuk Mohd Faizan Deraman, Mazrona Kalinggalan, Mohd Syafiq Salleh, Zul Azil Manza, Mohd Idham Hazni dan beberapa pelakon tambahan lagi menjanjikan kelainan untuk kali ini berbanding pementasan sebelumnya.

Stage Production adalah ringkasan kepada ‘Sabah Theater And Arts Management’ yang mendukung maksud Pertubuhan Teater dan Pengurusan Teater Sabah.

Selain bergiat aktif dalam pementasan teater, produksi ini juga aktif dalam pelbagai aktiviti sosial dan penglibatan bersama komuniti.

Dalam memperkukuh seni persembahan melalui persilangan budaya yang mengangkat resolusi etnik, produksi ini merangkul gelaran Juara FTNS 2015 dan 2017 melalui pementasan teater ‘Prebet Kabimbangan’ dan ‘Mambo Horse’ serta beberapa anugerah sampingan seperti Pengarahan Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Lelaki Harapan.

Kejayaan berterusan apabila produksi ini berjaya mendominasi beberapa anugerah termasuk Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Harapan melalui pementasan teater ‘Prebet Kabimbangan’ di Festival Teater Malaysia 2016.

Selain itu, pertaruhan Teater Dewan Persidangan dalam Festival Teater Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (Makum 2015) berjaya merangkul Anugerah Busana Terbaik, Anugerah Pelakon Lelaki Harapan dan Anugerah Khas Juri.

Dalam mempergiat seni persembahan pementasan sebagai etika perpaduan dan kesatuan dalam kalangan masyarakat, Stage Production telah menjalankan program bersama komuniti termasuk Program Rentas Komuniti Borneo: Teater Dalam Pendidikan di daerah Semporna, Karnival SPRM UMS: Teater Tangani Rasuah, Program Rentas Komuniti Borneo: Teater Dalam Pendidikan di Sekolah Seni Malaysia, Sarawak dan Program Jelajah Kasih: Teater Terapi di Rumah Kebajikan Papar.

Pengasas Stage Production yang juga pensyarah teater di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sharifuddin Zainal mengharapkan penyertaan produksi dalam festival kali ini membantu menyemarakkan pembudayaan teater di negeri Sabah khususnya.

“Secara peribadi saya berharap pelajar dapat mengaplikasikan ilmu teater sepanjang hayat ketika bekerja dalam menjayakan pementasan ini. Besar juga harapan saya agar penonton bukan sekadar terhibur tetapi mendapat sesuatu yang difikirkan dan dibincangkan selepas menonton pementasan ini nanti. Semoga Industri teater Sabah mampu mencorak perkembangan seni yang dominan dan berterusan,” katanya.

Untuk memeriahkan lagi pementasan teater ini, orang ramai dijemput hadir dan tiket adalah percuma. Untuk mengikut perkembangan semasa produksi ini bolehlah melayari laman rasmi di Facebook Stage Production. — Artikel sumbangan Mohd Afis Ismail

Advertisement