Anda di sini

Senapang, tombak dirampas

Advertisement
 ZuLkipli (tengah) menunjukkan senapang buatan sendiri yang dirampas daripada suspek.
BAHAN BUKTI: ZuLkipli (tengah) menunjukkan senapang buatan sendiri yang dirampas daripada suspek.

BINTULU: Senapang dan tombak antara senjata yang dirampas susulan penangkapan lima lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan curi sarang burung di sekitar bandar ini, kata Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili.

Beliau berkata, penangkapan suspek pertama, 51, dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) diketuai Inspektor Nixon Malang sekitar jam 3 petang, 7 Oktober di sebuah rumah tumpangan di sini.

"Penangkapan suspek pertama itu membawa pihak polis kepada sebuah kereta yang dipercayai digunakan suspek untuk tujuan jenayah," ujarnya pada sidang media di Pejabat JSJ Balai Polis Pusat di sini, semalam.

Zulkipli berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu, polis menjumpai baju-T, empat pasang sarung tangan, sepasang topeng muka, sepasang penutup muka, empat bilah parang, dua unit pengikis, seunit lampu suluh, selaras senapang buatan sendiri, tiga batang tombak dan empat unit telefon bimbit.

"Hasil daripada tangkapan itu, kita telah menjalankan tangkapan susulan ke atas empat lagi lelaki tempatan yang kita percaya ada kaitan dengan tangkapan pertama," tambahnya.

 Zulkipli (tiga kanan) menunjukkan alat jana kuasa yang berjaya ditemui semula di sebuah kedai membeli barang lusuh.
PANTAS: Zulkipli (tiga kanan) menunjukkan alat jana kuasa yang berjaya ditemui semula di sebuah kedai membeli barang lusuh.

Katanya, pihak polis telah menerima empat laporan berkenaan kecurian sarang burung di sekitar bandar bermula awal September lepas.

Kelima-lima suspek telah ditahan reman sehingga 22 Oktober ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Dalam kes berasingan, Zulkipli berkata seorang lelaki berjaya ditahan pada Isnin lepas ketika meleraikan dua unit alat jana kuasa dianggarkan bernilai RM100,000 yang dipercayai dicuri.

Katanya, pada jam 7.55 malam 22 September, pihak polis menerima laporan mengenai dua unit enjin kimpalan di sebuah bengkel di kawasan Kidurong Light Industrial Estate, Jalan Tanjung Kidurong telah hilang.

"Pengadu melaporkan kali terakhir melihat dua unit jana kuasa itu pada jam 6.30 pagi dan menyedari barang itu hilang pada jam 6.30 petang.

"Didapati mangga kunci pintu di premis yang menempatkan alat jana kuasa itu juga telah dipotong," jelasnya.

Justeru katanya, pada 14 Oktober lalu sepasukan anggota JSJ dan JPJKK berjaya mengesan dan menangkap suspek di sebuah kedai pembelian barang lusuh.

"Dua unit barang yang hilang tersebut turut ditemui sedang dileraikan di kawasan kedai berkenaan," tambahnya.

Katanya, lelaki berumur 40 tahun itu yang juga penjaga premis terbabit telah ditangkap dan kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai digunakan untuk membawa jana kuasa itu turut dirampas.

Tambahnya, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

"Suspek kini ditahan reman sehingga 17 Oktober bagi melengkapkan siasatan dan kita akan bawa kes ini kepada pejabat pendakwa untuk mendapat arahan selanjutnya selepas siasatan selesai," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement