Anda di sini

Pameran Institusi Diraja Malaysia pastikan sejarah, kepentingan institusi itu dihormati

Advertisement
 Sultan Nazrin (tengah) berkenan merasmikan Pameran Institusi Diraja Malaysia, Seminar Kesultanan Melayu Perak dan Pelancaran Buku Awang Had Salleh di Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim semalam. — Gambar Bernama
MENCEMAR DULI: Sultan Nazrin (tengah) berkenan merasmikan Pameran Institusi Diraja Malaysia, Seminar Kesultanan Melayu Perak dan Pelancaran Buku Awang Had Salleh di Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim semalam. — Gambar Bernama

TANJUNG MALIM: Pameran Institusi Diraja Malaysia yang diadakan di Muzium Pendidikan Nasional, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini bertujuan memastikan sejarah dan kepentingan institusi itu terus dihormati dan dihayati oleh setiap lapisan masyarakat di Malaysia.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata melalui pameran itu yang bermula semalam, pengunjung akan didedahkan mengenai sejarah Institusi Diraja Malaysia yang telah wujud sejak ribuan tahun dahulu.

Katanya sebagai sebuah universiti yang telah bertapak di Perak sejak tahun 1922, beliau berbangga pameran tersebut dimulakan di negeri ini yang bakal memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat sekitar khususnya komuniti di daerah Muallim.

“Sebelum era kemerdekaan, kita juga didedahkan mengenai kesepakatan raja-raja pemerintah dalam memastikan hak-hak rakyat di bawah naungan institusi diraja ini terjamin dengan tertubuhnya Durbar dan kemudiannya dikenali sebagai Majlis Raja-Raja.

“Idea pameran yang telah diinspirasikan oleh ahli Lembaga Pengarah UPSI itu akan memastikan masyarakat didedahkan mengenai sistem pemerintahan yang diperkenalkan selepas negara mencapai kemerdekaan iaitu Institusi Pemerintahan Raja Berperlembagaan,” katanya.

Mohammad Shatar berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Kesultanan Perak, Pameran Institusi Diraja Malaysia dan Pelancaran Buku Awang Had Salleh: Legenda Pendidikan Global Malaysia di Muzium Pendidikan Nasional, Kampus Sultan Abdul Jalil, UPSI semalam.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan majlis itu dan turut berangkat sama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selain barisan Exco kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, beliau berkata apa yang lebih menarik di pameran itu, terdapat satu sudut khas yang memaparkan sejarah dan maklumat berkaitan Institusi Diraja Negeri Perak yang membawa pengunjung menghayati lebih mendalam mengenai sejarah dan kegemilangan Kesultanan Melayu Perak.

Pameran Institusi Diraja Malaysia merupakan inisiatif UPSI bersama Arkib Negara Malaysia dan Jabatan Muzium Malaysia untuk menyebarkan maklumat sejarah berkaitan institusi itu serta memperjelaskan tentang peranan raja-raja dalam usaha ke arah pembentukan sebuah negara merdeka selain menyertakan maklumat berkaitan Institusi Diraja Negeri Perak.

Sebanyak tujuh perkara pameran akan dipertontonkan di bangunan muzium itu, antaranya Sejarah Institusi Diraja, Institusi Raja Berperlembagaan, Pemilihan dan Perlantikan Yang di-Pertuan Agong, Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Alat Kebesaran Diraja Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Diraja Negeri Perak.

Seminar Kesultanan Melayu Perak 2019 yang julung kali diadakan bersempena pameran yang bertemakan ‘Raja Payung Negara, Penaung Rakyat Jelata’ akan berlangsung selama dua hari bermula petang semalam akan membincangkan topik antaranya Wasiat Raja-Raja Melayu, Raja dan Institusi Kerajaan Perak dan Adat Istiadat Pertabalan Sultan Perak. — Bernama

Advertisement