Anda di sini

Lawatan tambah ilmu secara efektif

Advertisement
 Masrof (kiri, depan) merakam gambar kenangan bersama rombongan lawatan sambil belajar Kelab Malaysiaku.
KENANGAN: Masrof (kiri, depan) merakam gambar kenangan bersama rombongan lawatan sambil belajar Kelab Malaysiaku.

KOTA KINABALU: Selain pembelajaran secara formal, kaedah lawatan sambil belajar juga dapat menambah ilmu pengetahuan secara efektif.

Penolong Pegawai Penerangan Masrof Yaacob berkata pengalaman dan pendedahan secara langsung mampu merangsang minat para pelajar terhadap sesuatu bidang ilmu.

"Menerusi program lawatan sambil belajar, para pelajar akan mendapat pengalaman dan input secara langsung.

"Berbanding kaedah belajar dalam kelas secara formal, pasti pengalaman dengan melihat sendiri dan berada di sesuatu lokasi akan lebih berkesan," katanya.

Beliau menjelaskan demikian ketika ditanya mengenai tujuan Program Lawatan Sambil Belajar Ahli-ahli Kelab Malaysiaku Daerah Beaufort 2019 anjuran Pejabat Penerangan Bahagian Pedalaman Bawah.

Pada program itu, Masrof mengetuai rombongan lawatan 20 pelajar Tingkatan 3 serta guru-guru pengiring dari SM Weston, SM Beaufort, SMK Gadong dan SMK Membakut ke Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kompleks Muzium Sabah.

Di UMS, rombongan diberi taklimat oleh Timbalan Ketua Pegawai Sains Kanan Montinius Guntalib sebelum dibawa melawat ke makmal, akuarium dan muzium marin.

Manakala, di Kompleks Muzium Sabah, rombongan berpeluang melawat dua pameran khas iaitu, 'Dirgahayu TYT Sabah' dan 'Tam : Badak Jantan Terakhir' yang kini dibuka kepada orang ramai sehingga Disember.

Dalam pada itu, guru pengiring SMK Gadong Muhammad Fared Zulkefli berpendapat program berkenaan membolehkan para pelajarnya melihat suasana pembelajaran di universiti sekaligus memotivasikan mereka.

"Dengan lawatan ini, kita dapat memotivasikan para pelajar supaya meningkatkan usaha mereka dengan belajar lebih kuat lagi untuk sampai ke menara gading.

"Di samping itu, para pelajar dapat melihat secara lebih dekat mengenai proses ataupun sejarah berkaitan artifak, tokoh dan peristiwa lampau," katanya.

Sambil merakamkan penghargaan, Fared turut berharap Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah meneruskan program seumpama pada masa akan datang.

  Ahli-ahli Kelab Malaysiaku melihat tanduk Tam, badak sumbu jantan yang mati di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin  Lahad Datu baru-baru ini.
PAMERAN: Ahli-ahli Kelab Malaysiaku melihat tanduk Tam, badak sumbu jantan yang mati di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin Lahad Datu baru-baru ini.
  • oleh
  • Advertisement