Anda di sini

Zoe Kravitz jadi Catwoman dalam filem ‘Batman’ yang baharu

Advertisement
ZOE KRAVITZ
ZOE KRAVITZ

AKTRES Amerika Syarikat Zoe Kravitz akan membawa watak Catwoman dalam filem ‘Batman’ baharu yang dibintangi Robert Pattinson.

Kravitz, yang baru-baru ini berlakon dalam drama TV yang popular terbitan HBO ‘Big Little Lies’ dan merupakan anak pemuzik rock, Lenny Kravitz, akan membawa watak perompak kucing yang memecah masuk rumah bersenjatakan cemeti dan merupakan musuh dan kekasih Batman dalam buku komik.

Dia mengikuti barisan pelakon senarai A seperti Halle Berry, Anne Hathaway dan Michelle Pfeiffer sebagai pemegang watak Catwoman – juga dikenali sebagai Selina Kyle – dalam ‘The Batman’, yang dijadual dikeluarkan pada 2021.

Kravitz, 30, sebelum ini menjadi suara Catwoman dalam filem ‘The Lego Batman Movie’ pada 2017, dan turut muncul dalam filem-filem ‘Fantastic Beasts’ terbitan Warner, yang berlatarbelakangkan dunia Harry Potter.

Ibunya, aktres Lisa Bonet, membawa watak Denise Huxtable dalam ‘The Cosby Show’.

Berita mengenai barisan pelakon itu menyusuli kejayaan komersil yang begitu besar sekali bagi ‘Joker’, yang menceritakan asal usul bagi satu lagi musuh Batman yang terkenal kejam, dan sudah memecah rekod ‘box office’ bulan Oktober di pawagam Amerika Utara.

‘The Batman’ akan diarah oleh Matt Reeves, yang menjadi orang utama di sebalik dua filem sekuel ‘Planet of the Apes’ yang terakhir.

Pattinson, bintang ‘Twilight’, pada awal tahun ini diumumkan akan membawa watak Batman, juga dikenali sebagai Bruce Wayne.

Pattinson akan meng-gantikan Ben Affleck, yang bersara daripada watak itu selepas dia membawa watak Wayne dalam ‘Batman v. Superman: Dawn of Justice’ pada tahun 2016 dan ‘Justice League’ pada 2017.

Affleck pada mulanya dijangka mengarahkan sebuah filem Batman baharu yang berdiri sendiri, tetapi berundur dan digantikan oleh Reeves pada 2017.

Pelakon Jonah Hill juga telah dikaitkan dengan filem yang akan datang itu. — AFP

Advertisement