Anda di sini

Rayuan bapa ketepi hukuman rogol anak ditolak

Advertisement
 Tertuduh (kanan) dibawa keluar dari mahkamah.
RAYUAN DITOLAK: Tertuduh (kanan) dibawa keluar dari mahkamah.

SIBU: Mahkamah Tinggi di sini semalam mengetepikan rayuan seorang lelaki yang dijatuhkan hukuman penjara 75 tahun berserta 48 sebatan setelah mengaku bersalah atas 16 pertuduhan merogol anak sendiri.

Tertuduh, 40, didakwa atas 16 pertuduhan merogol anaknya yang berusia 12 tahun dan didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan.

Pada 4 Julai 2019, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara antara 15 dan 20 tahun setelah tertuduh mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan.

Tertuduh yang merayu terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen itu memberitahu Hakim Lim Hock Leng yang dia kesal dengan perbuatannya itu, selain perlu menjaga keluarganya.

Lim dalam keputusannya bagaimanapun menolak rayuan tertuduh dan menyifatkan alasan yang diberikan itu sebagai tidak boleh diterima.

Terdahulu, tertuduh didakwa merogol anaknya yang ketika kejadian berusia 12 tahun antara Januari 2016 dan September 2017 di rumah panjang mereka di Sungai Bulat, Sarikei.

Berdasarkan fakta kes, mangsa berkongsi bilik tidur bersama kedua-dua orang tua serta adik perempuannya.

Sekitar Januari 2016, mangsa terjaga dari tidur apabila berasa badannya diraba oleh tertuduh, sebelum tertuduh bertindak merogol mangsa.

Kerana takut dengan tertuduh, mangsa tidak menjerit. Selepas selesai merogol mangsa, kedua-dua mereka kembali menyambung tidur.

Mangsa turut memberitahu, sejak kejadian itu tertuduh bertindak merogolnya hampir setiap malam dari Januari 2016 hingga Disember 2016.

Pada 2017, mangsa yang memasuki tingkatan satu tinggal di asrama sekolah dan hanya pulang ke rumah pada hujung minggu.

Sekitar Julai 2017, tertuduh mengulangi kesalahan sama terhadap mangsa, diikuti dua kali pada Ogos 2017 dan 5 September 2017.

Pada 6 September, mangsa bertindak menceritakan kejadian itu kepada gurunya yang kemudian membawanya ke Hospital Sarikei untuk menjalani pemeriksaan.

Tertuduh kemudian ditahan pada hari yang sama kira-kira jam 4 petang di pekarangan Hospital Sarikei.  

Advertisement