Anda di sini

Eddie Murphy muncul semula dengan ‘Dolemite Is My Name’

Advertisement
 

PELAKON Hollywood Eddie Murphy sudah lama tidak kelihatan, dan filem baharunya ‘Dolemite Is My Name’ menerima reviu yang amat baik. Tetapi jangan memanggilnya satu kemunculan semula.

“Saya sudah membuat filem hampir selama 40 tahun, dan setiap lima tahun, saya muncul semula – mereka kata saya muncul semula,” kata Murphy.

“Tetapi (‘Dolemite is My Name’) adalah lebih umpama penahan buku berbanding satu kemunculan semula, kerana saya tidak akan membuat filem seperti dahulu,” tambah pelawak itu.

‘Dolemite Is My Name’ menyaksikan Murphy membawa watak mendiang selebriti Ameirka sebenar, Rudy Ray Moore, seorang perintis rap dan komedi yang pernah bergelut dan menjumpai kejayaan pada tahun 1970an menerusi personaliti lainnya yang lucah dan suka aksi kung-fu, Dolemite.

Ia merupakan filem besar pertama Murphy sejak filem aksi jenayah 2011 ‘Tower Heist’.

“Dia (Moore) merupakan watak hebat yang memberi inspirasi. Dia percaya kepada diri sendiri, itulah perkara yang paling besar mengenai dirinya,”kata Murphy.

“Walaupun filem-filemnya kasar, dia membuatnya daripada sakunya sendiri, dan dia sendiri terpaksa membuat segalanya dan masuk menerusi pintu belakang,” katanya.

Pengkritik menyifatkan lakonannya sebagai yang terbaik dalam kariernya.

“Anda mungkin perlu kembali ke zaman 80an untuk mencari lakonan Murphy yang didorong oleh tenaga ‘funky’ yang amat menyeronokkan ini,” kata reviu Variety.

Murphy masih ada banyak filem akan datang. Dia sedang berlakon dalam dua filem baharu – ‘Coming 2 America’ dan ‘Beverly Hills Cop 4’ – sekuel kepada dua filemnya yang paling berjaya pada tahun 1980an.

Selain itu, Murphy berkata dia akan memberi tumpuan kepada usaha untuk kembali kepada minatnya yang pertama, lawak ‘stand up’, “kecualilah, yalah, Quentin Tarantino atau Spielberg atau Martin Scorsese atau, yalah, ada lelaki genius atau Spike (Lee) ada sesuatu yang amat luar biasa.”

“Saya berusia 58 tahun sekarang dan tiada yang saya lebih suka daripada berada di rumah di atas bangku malas tidak jauh dari anak-anak,” tambahnya.

Walaupun Murphy nampak seperti pelakon yang amat sesuai sekali untuk membawa watak Moore, yang meninggal dunia pada 2008, dia berkata karier mereka amat berbeza sekali.

“Satu-satunya uji bakat yang pernah saya buat adalah untuk ‘Saturday Night Live.’... Ia hampir umpama berjalan keluar dari syurga dan masuk terus ke dalam Hollywood.

“Saya menjalani kehidupan yang begitu menarik sekali sehinggakan biopik saya pasti membosankan.” — Reuters

Advertisement