Anda di sini

Warga Indonesia seludup PATI dipenjara lapan tahun

Advertisement
 Tertuduh bersama keluarganya selesai prosiding mahkamah semalam.
SEDIH: Tertuduh bersama keluarganya selesai prosiding mahkamah semalam.

KUCHING: Seorang bapa anak empat menitiskan air mata saat mendengar hukuman penjara lapan tahun dijatuhkan ke atasnya kerana melakukan kesalahan membawa keluar enam rakan senegaranya secara haram melalui Tebedu, menggunakan sebuah van.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Supang Lian mengenakan hukuman tersebut selepas tertuduh, Mukhlisin, 45, mengaku bersalah melakukan perbuatan terbabit pada 10 November tahun lalu.

“Hukuman penjara selama lapan tahun akan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 10 November 2018. Tiada denda dikenakan terhadap tertuduh,” ujar Supang ketika menjatuhkan hukum.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

Enam PATI itu pula disabit di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta 155 kerana masuk ke Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Mereka kemudian dihukum penjara empat bulan dan dikenakan satu sebatan setiap seorang pada 14 Disember tahun lepas.

Menurut fakta kes, tertuduh yang bertanggungjawab mengangkut pelbagai barangan dan PATI mengarahkan enam warga Indonesia masuk ke belakang van.

Penumpang yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah itu disuru duduk di bahagian belakang van ditutupi dengan barangan, beg dan kotak.

Setiap PATI juga dikenakan bayaran tambang sebanyak RM10.

Mereka hendak menuju ke Entikong, Indonesia, dari perhentian bas Tebedu sebelum diperiksa dan ditahan pegawai imigresen kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Kesemua PATI yang berumur antara 20 hingga 49 tahun itu juga mengaku membayar tertuduh untuk membawa mereka pulang ke negara asal.

Tertuduh melalui peguamnya, Francis Teron memohon kepada mahkamah agar tidak dikenakan denda kerana tidak mampu membayarnya, selain mempunyai empat anak untuk ditanggung.

“Anak guam saya juga mempunyai anak kecil berusia empat bulan lebih. Justeru, saya memohon kepada mahkamah agar tidak mengenakan hukuman berat terhadapnya,” ujar beliau.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Nurul Asyikin Rosli dan Wan Imaan Ikhwan.

Advertisement