Anda di sini

Skandal dadah: Ketua Polis Negara Filipina meletak jawatan

Advertisement
 Albayalde dalam gambar fail 19 April, 2018 di metro Manila. — Gambar Reuters
LETAK JAWATAN: Albayalde dalam gambar fail 19 April, 2018 di metro Manila. — Gambar Reuters

MANILA: Pegawai tertinggi polis Filipina yang mengetuai kempen antidadah kejam di negara itu, meletak jawatan semalam apabila berdepan dengan tuduhan melindungi anggota polis yang dituduh menjual timbunan besar dadah yang dirampas.

Walaupun skandal itu bermula sejak sebelum Oscar Albayalde menjadi ketua polis negara, ia telah menimbulkan kritikan baharu terhadap kempen utama Presiden Rodrigo Duterte yang merupakan kunci bagi populariti besar-besarannya di kalangan rakyat Filipina.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif presiden yang mendapat kecaman pihak antarabangsa, pihak polis telah membunuh ribuan suspek pengedar dan pengguna sejak pertengahan 2016, namun pihak pengkritik menyatakan golongan kaya dan berkuasa kebanyakannya tidak disentuh.

Peletakan jawatan Albayalde muncul beberapa hari selepas dua bekas anggota polis mengaitkannya dengan satu serbuan pada 2013 di mana pegawai sebuah wilayah berhampiran Manila dikatakan merampas dan kemudian menjual sebahagian daripada rampasan besar syabu.

Seorang bekas anggota polis menyatakan Albayalde melindungi pegawai daripada tindakan disiplin, sementara yang lain mendakwa dia menerima wang hasil penjualan dadah.

Albayalde, komander wilayah ketika itu, menafikan sepenuhnya sebarang salah laku.

Dia dijangka bersara pada November selepas berkhidmat sebagai ketua polis negara sejak April 2018.

“Saya berterima kasih kepada Presiden Rodrigo Roa Duterte di atas kepercayaan dan keyakinan beliau,” menurut Albayalde dalam satu mesej ketika mengumumkan pelepasan jawatannya yang berkuat kuasa serta-merta.

Walaupun isu tersebut telah muncul sejak beberapa minggu dalam perbicaraan Senat, Duterte masih lagi berdiam diri tentang perkara tersebut.

Beliau telah berikrar akan membanteras kegiatan rasuah yang sudah lama bersarang dalam kalangan polis Filipina namun telah beberapa kali menyuarakan kekecewaan dan kemarahan dengan tahap masalah.

Neri Colmenares, peguam beberapa keluarga yang mendesak pendakwaan terhadap kempen antidadah di Mahkamah Jenayah Antarabangsa, menyatakan dakwaan terhadap Albayalde adalah satu tindakan yang sangat memalukan.

“Malah pegawai yang menguruskan PNP (polis negara) sendiri terlibat dengan dadah.

“Ini menunjukkan apa yang kita katakan selama ini bahawa kempen ini sebenarnya hanya menyasari golongan miskin,” kata beliau. — AFP

Advertisement