Anda di sini

Sabah, S'wak perkukuh kerjasama untuk pembangunan bersama

Advertisement
 Shafie (tujuh kanan) dan Abang Johari (lapan kanan) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan.
KENANGAN: Shafie (tujuh kanan) dan Abang Johari (lapan kanan) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah dan Sarawak akan menguatkan jalinan kerjasama sedia ada untuk merealisasikan pelbagai pembangunan bersama khususnya dalam sektor minyak dan gas.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Kerajaan Sabah akan melihat secara terperinci beberapa sektor yang boleh dimanfaatkan bersama.

"Kita sedar kita masih ketinggalan dari Sarawak khususnya dalam industri hiliran sektor minyak dan gas

"Kita mempunyai minyak mentah terbesar dan pengeluar gas kedua terbesar, penting kepada kita bagi menguatkan hubungan sedia ada untuk realisasikan demi manfaat kedua negeri dan Malaysia keseluruhannya," katanya dalam sidang media selepas menerima kunjungan hormat oleh Ketua Menteri Sarawak  Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, semalam.

Beliau berkata, sebelum ini Sabah dan Sarawak turut mempunyai kerjasama dalam beberapa sektor antaranya dalam industri simen.

Katanya, kerjasama dari pelbagai sudut pembangunan diantara dua negeri ini juga boleh ditingkatkan untuk manfaat bersama dan juga Malaysia secara keseluruhannya.

"Sabah dan Sarawak adalah dua negeri yang luas dan mempunyai hasil sumber asli kaya selain banyak membawa pelancong dalam negara ini.

"Kita akan melihat bagaimana peranan bersama dimainkan bagi memastikan usaha bukan sahaja membantu negara tetapi kedua-dua negeri yang agak ketinggalan dari sudut prasarana berbanding negeri lain di Malaysia," katanya.

Menurutnya, Kepulauan Borneo akan menjadi sebuah pulau yang berperanan besar di rantau ini selepas Indonesia memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan.

Sementara itu, Abang Johari menjelaskan bahawa Sarawak dan Sabah mempunyai pelbagai persamaan dan kekuatan masing-masing.

"Sekiranya kekuatan kita ini dapat digabungkan dari sudut ekonomi dan sosial yang boleh membantu transformasikan keadaan sosial ekonomi yang terdapat di dua negeri ini.

"Dengan kekuatan ini, ia sudah pasti dalam membangunkan Malaysia sebagai negara yang aman dan maju.

"Saya setuju dengan Shafie bahawa Kepulauan Borneo yang terdiri dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia akan menjadi pulau terpenting dalam rantau ini," katanya.

Menurutnya, keadaan itu sudah pasti akan memberikan ruang kepada Borneo untuk mempunyai satu pendekatan ekonomi yang  mantap diantara jiran-jiran di Pulau Borneo.

Mengenai Belanjawan 2020, Shafie yang juga Menteri Kewangan menjelaskan walaupun peruntukan pembangunan diberikan kepada Sabah boleh disalurkan lebih banyak, tetapi Kerajaan Sabah berterima kasih kepada Kementerian Kewangan Pusat.

"Kami juga ingin tahu apa fomula yang diilhamkan oleh Kementerian Kewangan untuk menyalurkan peruntukan khas kepada negeri ini," katanya.

Abang Johari pula menjelaskan sekiranya dikaji dari segi keluasan dan sumber yang telah diagihkan oleh kerajaan negeri.

"Memang kalau dibandingkan dari sudut wilayah kita tidak berpuas hati kerana selalu mereka membandingkan diantara negeri ke negeri...dia bandingkan kita dengan Perlis..dia bandingkan kita dengan negeri-negeri Semenanjung.

"Kalau itulah rasionalnya...saya berpendapat agihan itu tidak adil kerana kalau anda mempunya negeri yang besar sudah pasti anda memerlukan lebih banyak peruntukan untuk membina kemudahan asas.

"Contohnya kemudahan digital...kalau mahu pergi ke arah 5G, sudah pasti anda memerlukan gentian fiber di kesemua sudut negeri.

"Dari Lawas sehingga Kuching...dari contoh ini ianya tidak boleh dibandingkan berdasarkan negeri. Kalau Selangor dan Melaka...kedua negeri ini mcm Kuching sahaja saiznya," katanya.

Oleh itu katanya, apabila Kerajaan Persekutuan ingin mengagihkan peruntukan, perlu mengikut rasional termasuk jalan-jalan kampung.

Menurutnya, Sarawak terpaksa mengeluarkan dana sendiri bagi menampung segala pembangunan kemudahan asas.

Hadir sama ialah Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Christina Liew serta Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
 

  • oleh
  • Advertisement