Anda di sini

PIRKVL, Perbadanan Labuan jalin kerjasama

Advertisement
 Dr.Fary Akmal Osman (dua kanan) dan Barawi bertukar-tukar dokumen MoU sambil disaksikan Ibrahim Tambi (kanan) dan Othman (kiri).
MOU: Dr.Fary Akmal Osman (dua kanan) dan Barawi bertukar-tukar dokumen MoU sambil disaksikan Ibrahim Tambi (kanan) dan Othman (kiri).

LABUAN: Perpustakaan Ibnu’ Razzaz Kolej Vokasional Labuan (PIRKVL), Kementerian Pendidikan Malaysia bersama Perpustakaan Awam PL, Perbadanan Labuan bersetuju untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang berkaitan perpustakaan melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU), baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman dan Timbalan Pengarah Akademik KVL Barawi Haji Sapar, masing-masing menandatangani memorandum persefahaman itu di Wisma Perbadanan Labuan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) Perbadanan Labuan Ibrahim Tambi, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Othman Idris dan Ketua Unit Pusat Sumber KVL Dk Rubiah P Ibrahim.

Perpustakaan Ibnu’ Razzaz Kolej Vokasional Labuan (PIRKVL) merupakan sumber rujukan utama khususnya kepada pelajar-pelajar Kolej Vokasional Labuan.

Dalam usaha melengkapkan segala keperluan dan kemudahan pelajar, PIRKVL sentiasa komited bagi memperkukuhkan keupayaan dalam aspek rujukan bahan akademik, pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan yang berkaitan.

Di samping mengambil pelbagai inisiatif untuk menjayakan program yang bernilai tambah.

Perpustakaan Awam Perbadanan Labuan turut bertindak sebagai satu institusi rujukan yang sama dalam usaha untuk menyediakan sebarang perkhidmatan seperti peminjaman buku, penyebaran maklumat, menjaga dan mengurus koleksi bacaan.

Usaha memperkukuh dan jalinan kerjasama dua belah pihak ini diharap dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada pengguna atau pengunjung, malah untuk memberi kepentingan dan manfaat bersama.

Dalam memorandum ini juga, persefahaman dipersetujui melalui beberapa pecahan dan bahagian, termasuklah kerjasama dalam perkhidmatan, pelaksanaan aktiviti, khidmat nasihat dan pertukaran pendapat serta bidang-bidang lain yang akan dipersetujui kelak oleh kedua pihak.

Kedua-dua pihak juga menzahirkan harapan bahawa kerjasama ini akan membuahkan hasil di samping memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dalam pengurusan perpustakaan berkaitan aspek-aspek yang telah diutarakan.
 

Advertisement