Anda di sini

Perniagaan Francais Malaysia digesa lebih aktif di luar negara

Advertisement
 Rostam (kiri) membuat pelancaran semasa mengetuai delegasi Malaysia yang menyertai pameran industri di New Delhi, semalam. Turut kelihatan Hidayat (dua kiri)— Gambar Bernama
PERASMIAN: Rostam (kiri) membuat pelancaran semasa mengetuai delegasi Malaysia yang menyertai pameran industri di New Delhi, semalam. Turut kelihatan Hidayat (dua kiri)— Gambar Bernama

NEW DELHI: Syarikat Malaysia yang mengurus model perniagaan francais yang berjaya, digesa lebih aktif untuk meneroka peluang di luar negara, kata pegawai kanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Kami mahu mereka melihat lebih jauh daripada rantau berdekatan, dengan meneroka peluang di negara Timur Tengah, Eropah dan Asia Selatan.

“Beberapa syarikat kita berjaya berkembang ke pasaran Asia Tenggara dan mereka selesa menjalankan perniagaan di rantau ini (ASEAN), namun mereka perlu mengambil kesempatan daripada insentif yang ditawarkan oleh kerajaan untuk mewujudkan perkongsian di pasaran asing,” kata Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian itu Datuk Rostam Affendi Salleh kepada Bernama dalam temu bual.

Rostam berkata syarikat-syarikat Malaysia wajar menyedari mengenai pelbagai inisiatif, yang ditawarkan, dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan agensi-agensi lain, akan membantu mereka menyertai acara perdagangan di luar negara dan memenuhi potensi rakan perniagaan.

Sebanyak 899 francais beroperasi dan didaftarkan dengan kementerian, termasuk 575 jenama tempatan, katanya.

Enam puluh lima francaisi Malaysia beroperasi di 66 negara dan mengendalikan 4,271 peniagaan.

Minggu lepas, Rostam mengetuai delegasi Malaysia yang menyertai pameran industri di New Delhi.

Jenama dan agensi di bawah pavilion Malaysia pada acara Francaisi India termasuk The Manhattan Fish Market, Marrybrown, MuzArt, Celmonze, Global Art dan Persatuan Francais Malaysia.

“Di India, kita mempunyai 11 jenama Malaysia dengan 174 cawangan,” katanya.

India dilihat sebagai pasaran yang menarik dalam urus niaga francais dalam sektor seperti makanan dan minuman, pendidikan, runcit dan rekreasi.

Pertumbuhan pasaran francais India dibantu oleh aspirasi keusahawanan belia, penduduk bandar yang semakin meningkat dan pendapatan boleh guna pengguna pertengahan dan kelas mewah. — Bernama

Advertisement