Anda di sini

Perluas penggunaan aplikasi e-dompet di Sarawak

Advertisement
 Khairil (dua kiri) dan Frisca (tiga kanan) bersama kakitangan pengurusan yang lain mempromosikan e-dompet Boost bagi menggantikan kaedah  bayaran tunai.
LEBIH MUDAH: Khairil (dua kiri) dan Frisca (tiga kanan) bersama kakitangan pengurusan yang lain mempromosikan e-dompet Boost bagi menggantikan kaedah bayaran tunai.

KUCHING: Axiata Digital Services Sdn Bhd (Axiata Digital) sedia bekerjasama dengan Sarawak Pay dalam usaha memperluaskan lagi penggunaan aplikasi dompet elektronik (e-dompet) dalam kalangan pengguna di negeri ini.

Axiata Digital merupakan peneraju e-dompet Boost tempatan terbesar dalam negara dengan sasaran tujuh juta pengguna dan 150,000 titik jualan peniaga menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Kharil Abdullah berkata Boost telah bertapak dua tahun di negara ini dan telah berada di Sarawak selama satu tahun setengah sejak pelancarannya pada Mei 2018.

“Kami sudah pasti mahu bekerjasama dengan Sarawak Pay atau mana-mana pesaing e-dompet yang lain kerana bagi kami pesaing utama dalam industri ini adalah tunai.

“Negara kita beralih kepada masyarakat tanpa tunai dan semua penyedia e-dompet memainkan peranan untuk menjadikan bayaran tanpa tunai dominan dalam masyarakat.

“Jadi, jika ada peluang kami sangat mahu berkolaboratif dengan Sarawak Pay untuk melawan kaedah bayaran secara tunai yang telah diguna pakai beratus tahun dalam kalangan masyarakat kita,” katanya ketika ditemu bual di sini semalam.

Tambah Khairil, Boost berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan pengguna dan peniaga ketika pertama kali memulakan penggunaan aplikasi ini.

Katanya, Boost perlu mengadakan banyak program bagi mendidik pasaran mengenai bayaran menggunakan imbasan QR dan sebagainya.

Boost katanya, juga banyak memberi insentif bagi menggalakkan pengguna dan peniaga beralih kepada penggunaan e-dompet Boost.

“Kami melakukan banyak insentif kepada pengguna dan peniaga terutama peniaga tunai di mana kami tidak mengenakan caj kepada peniaga kecil.

“Seperkara yang kami sediakan bagi peniaga kecil adalah semakin banyak mereka menggunakan Boost, kami boleh menyediakan mereka dengan pinjaman kewangan mikro serendah RM5,000.

“Selain itu kami juga menawarkan perlindungan insurans kepada peniaga kecil serendah RM3 sebulan dengan jumlah perlindungan sebanyak RM12,000,” katanya.

Sementara itu Pengurus Boost Wilayah Sarawak Frisca Freddy berkata Boost pertama kali dilancarkan di Sarawak pada Mei 2018 dan merupakan pengguna Boost kedua paling aktif dalam negara selepas Sabah.

Bermula dengan hanya 20 peratus titik jualan peniaga Boost daripada 105 peniaga di pusat beli-belah tHe Spring di sini, Boost kini mempunyai 37 peratus titik jualan peniaga di pusat beli-belah tersebut.

Di Plaza Merdeka pula, Boost mempunyai 63 peratus titik jualan peniaga meliputi lebih daripada 50 peratus daripada jumlah peniaga di pusat beli-belah tersebut dan hampir 40 peratus di Vivacity Megamall, kata Frisca.

Dalam segmen peniaga tunai kecil, Sarawak menurut Khairil mewakili 25 peratus daripada seluruh negara dari segi transaksi  dan merupakan pengguna kedua paling aktif selepas Sabah.

Ia adalah mengejutkan di mana Sarawak dan Sabah bermula kemudian tetapi paling aktif menggunakan e-dompet Boost berbanding Semenanjung  Malaysia.

“Sebab itu Boost mahu mengembangkan lagi penggunaannya di Sarawak dan menjadikan e-dompet Boost lebih mudah kepada penguna Sarawak,” kata Khairil.

Dari segi transaksi pula, setakat ini Sarawak merekodkan transaksi sebanyak RM47 juta bagi peniaga tunai tidak termasuk peniaga di pusat beli-belah seperti Watson, KFC dan sebagainya.

Anggaran perbelanjaan pengguna Boost ketika ini ialah RM258 seminggu seorang meningkat berbanding hanya RM47 seminggu setahun yang lalu.

Ditanya mengenai faktor pertumbuhan pesat penggunaan e-dompet Boost di Sarawak, Khairil berkata ia disumbangkan oleh tiga faktor utama.

Pertama penggunaannya yang sangat mudah berbanding tunai, kedua selamat dan ketiga lebih ganjaran kepada pengguna bagi setiap transaksi yang dibuat.

Khairil turut berkongsi pengalaman beliau yang telah berhenti membawa tunai sejak Februari 2019 dan beralih kepada penggunaan e-dompet.

Katanya jika beliau dapat bertahan tanpa tunai beliau yakin pengguna yang lain juga dapat bertahan dan akan beralih kepada e-dompet daripada penggunaan pertama.

  • oleh
  • Advertisement