Anda di sini

Pembangunan pendidikan fokus utama capai keputusan cemerlang

Advertisement
 Rentap bersama rombongan dalam lawatannya memantau keperluan pendidikan di DUN Layar.
LAWATAN: Rentap bersama rombongan dalam lawatannya memantau keperluan pendidikan di DUN Layar.

BETONG: Pembangunan pendidikan merupakan fokus utama dalam usaha mencapai keputusan cemerlang bagi sekolah-sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar.

ADUN Layar Gerald Rentap Jabu yakin usaha membantu dengan merancang pelbagai program di bawah Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan (JPP) N36 Layar dapat meningkatkan prestasi sekolah rendah dan menengah di sini.

“Dalam usaha tersebut JPP N36 Layar dijadikan sebagai landasan menguruskan dan menjayakan pelbagai program yang dirancang bersama dan menambah kaedah-kaedah sedia ada diterapkan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Untuk memastikan setiap perancangan mencapai kejayaan, barisan JPP N36 Layar dibentuk daripada kalangan pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Betong bersama pengetua, guru besar dan yang dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.

“Jawatankuasa ditubuh sejak setahun lalu mula menampakkan kejayaan apabila tiga sekolah dijadikan perintis bagi program ‘Phonic Sound Reading’ bermula daripada peringkat prasekolah.

“Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ajau, SK Abang Abdul Kadir Betong dan SJK Chung Hua Betong,” katanya ketika menjelaskan aktiviti dirancang sekolah-sekolah di DUN Layar semasa mesyuarat JPP N36 Layar di SMK St Augustine Betong, Jumaat lalu.

Tambahnya, program dirancang awal tahun ini dan dilaksanakan bermula Jun dan diperluaskan ke lapan sekolah lain dalam kawasan N36 Layar.

“Seiring pengenalan pengajaran bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik dan Sains kepada murid-murid tahun satu dan dwibahasa bagi tingkatan satu mulai tahun depan  diketengahkan kerajaan, kita berusaha membantu menyediakan kemudahan kepada sekolah dari akar umbi.

“Kita berusaha membantu sekolah menambah pengetahuan guru-guru selain memberi keperluan pengajaran dan pembelajaran kepada sekolah-sekolah di sini,” ujarnya.

Program itu bukan membebankan guru malah percambahan sistem pendidikan yang pelbagai dapat membantu murid lebih cepat belajar.

Advertisement