Anda di sini

Pelajar tahun akhir Seni Bina KLT lawat Taipei

Advertisement
 Rombongan ketika lawatan sambil belajar ke Taiwan.
SAMBIL BELAJAR: Rombongan ketika lawatan sambil belajar ke Taiwan.

SIBU: Pelajar tahun akhir Seni Bina Kolej Laila Taib (KLT) telah mengadakan lawatan sambil belajar selama lima hari ke Taipei, Taiwan bersama pensyarah mereka.

Lawatan itu memberi pengetahuan kepada pelajar mengenai seni bina dan reka bentuk serta mengetahui lebih banyak mengenai universiti di Taiwan.

Antara yang dikunjungi rombongan itu ialah Jabatan Seni Bina Universiti Kristian Chung Yuan.

Diiringi Profesor Xie Ming Ye daripada Universiti Kristian Chung Yuan, rombongan itu berpeluang melawat kampus serta beramah mesra dengan pelajar jurusan sama.

Bangunan-bangunan di sekeliling kampus dilihat agak lama dan bersejarah tetapi elegan.

Rombongan itu juga melawat sebuah universiti lama, Taiwan Aletheia University.

Kampus ini dikelilingi bangunan-bangunan reka bentuk Eropah dan halaman menyegarkan di pusat kampus.

Selain universiti terkenal itu, rombongan tersebut turut mengambil peluang melawat tempat-tempat pelancongan terkenal seperti Jiufen Old Street.

Jalan itu terdiri daripada bangunan-bangunan lama sepanjang lereng bukit membentuk landskap seni bina yang unik.

Warna-warna sepadan dengan bangunan reka bentuk lama sememangnya merupakan pembuka mata serta minda kepada pelajar berkenaan.

Kunjungan lain ialah melawat Yeliu Geopark, Air Terjun Shifen dan Yangmingshan.

Landskap di lokasi-lokasi ini mencetuskan keinginan tinggi dalam kalangan pelajar menghargai alam semula jadi dan bercita-cita memasukkan lebih banyak konsep alam sekitar dan kehijauan dalam reka bentuk seni bina pada masa akan datang.

Perjalanan ini memberi manfaat kepada pelajar bukan sahaja pengetahuan mereka tetapi juga hubungan antara satu sama lain dengan pensyarah mereka.

Secara keseluruhannya lawatan itu adalah kejayaan besar dan memberi impak kepada peserta terlibat.

Advertisement