Anda di sini

Miliki 20 jenis keluaran bukan berdaftar, penjawat awam didenda RM2,000

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang wanita penjawat awam dikenakan denda sebanyak RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas kesalahan memiliki 20 jenis keluaran bukan berdaftar.

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Kasineh@Rasineh Gusili, 45, selepas mengaku bersalah mengikut Peraturan 7 (1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (1) Akta Jualan Dadah 1952, memperuntukkan denda maksimum RM25,000 atau penjara selama tempoh tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, jika gagal membayar denda berkenaan mahkamah mengarahkan penjara selama tempoh 30 hari dikenakan terhadap tertuduh.

Kasineh didapati memiliki semua keluaran terbabit antaranya Jamu Kapsul Malam, Queen Of Mutiara dan Apple Detox, pada 19 September 2018 di sebuah premis, Sedco, daerah Ranau.

Berdasarkan fakta kes, pada hari sama, sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasa Farmasi melakukan serbuan di premis terbabit.

Hasil pemeriksaan yang dilakukan, ditemukan 20 jenis keluaran bukan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudian dirampas untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Semasa rayuan, tertuduh memohon supaya hukumannya diringankan dan menyatakan tidak mengetahui jika semua keluaran berkenaan tidak berdaftar.

"Saya seorang kakitangan kerajaan. Kedai berkenaan hanya untuk mendapatkan pendapatan sampingan demi menampung perbelanjaan sekolah anak-anak.

"Saya tidak tahu barang-barang berkenaan tidak berdaftar. Kejadian ini menjejaskan nama baik saya," katanya sambil menangis.

Namun Pegawai Pendakwa Akmal Hakim dari Jabatan Farmasi menegaskan, hukuman setimpal harus dikenakan dengan mengambil kira kesejahteraan dan keselamatan orang awam.

  • oleh
  • Advertisement