Anda di sini

Memandu tidak bertimbang rasa, lelaki kekal sabitan dan hukuman

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan kekal disabitkan dengan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara tidak bertimbang rasa.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nurchaya Hj Arshad membuat keputusan itu terhadap Dihol Angkuyu, 47, setelah mengetepikan rayuan balas daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.

Dalam penghakiman itu, beliau menyatakan mahkamah rendah mempunyai kuasa untuk mensabitkan perayu (Dihol) dengan hukuman yang lebih ringan.

Pada 19 Julai tahun lalu, perayu dikenakan denda sebanyak RM6,000 oleh Mahkamah Majistret setelah didapati bersalah mengikut Seksyen 43 (1) APJ 1987.

Hukuman yang diperuntukkan, denda maksimum RM10,000 atau penjara selama tempoh 12 bulan.

Sebelum ini perayu didakwa mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987, kerana memandu secara berbahaya, sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal.

Kesalahan itu dilakukan pada 24 Disember 2014 jam 8.20 pagi di Kampung Tanjung Baru, daerah Kota Marudu.

Hukuman yang diperuntukkan, penjara selama tempoh 10 tahun atau denda sehingga RM20,000.

Terdahulu, peguam Saban Sawayan mengatakan kejadian kemalangan itu berlaku apabila mangsa yang melanggar kenderaan dipandu perayu.

Dalam pada itu, beliau juga membidas keputusan mahkamah rendah kerana mensabitkan perayu mengikut Seksyen 43 (1) APJ 1987.

Namun Timbalan Pendakwaraya Hurman Hussain menjelaskan,  mahkamah rendah mempunyai bidang kuasa untuk mensabitkan perayu mengikut seksyen berkenaan.

Selain itu, beliau menyatakan, terdapat saksi yang melihat perayu memandu dengan memotong kenderaan di hadapannya lalu melanggar motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan.

  • oleh
  • Advertisement