Anda di sini

LMS bakal ditempatkan di PTKK menjelang akhir tahun

Advertisement
 Reza (tengah) menyaksikan penyerahan simbolik pemerintahan yang disampaikan oleh Abdul Rahman (kiri) kepada Syed Zahrul (kanan).
SERAH: Reza (tengah) menyaksikan penyerahan simbolik pemerintahan yang disampaikan oleh Abdul Rahman (kiri) kepada Syed Zahrul (kanan).

KOTA KINABALU: Sebuah Kapal Misi Pesisir (LMS) yang dibina di China bakal dibawa balik dan ditempatkan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu (PTKK) menjelang akhir tahun ini.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata kesemua program pemindahan berjalan dengan baik dan kapal terbabit dijangka akan diperoleh pada penghujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

"Dalam tempoh tiga bulan seterusnya kapal kedua dan ketiga serta keempat akan diperoleh pada tahun berikutanya dan setakat ini kesemua kapal ini termasuk Kapal Diraja (KD) Keris dan KD Sundang dijangka akan ditempatkan di sini," katanya.

Tambahnya selain daripada LMS ini, TLDM juga sedang dalam proses perolehan Kapal Pemintas Laju atau Fast Interceptor Craft (FIC) yang mana proses tender sudah dilaksanakan.

"Kontrak ini dijangka akan dimeterai selewat-lewatnya awal tahun hadapan dan proses penghantaran pertama pada penghujung tahun hadapan.

"Berdasarkan peruntukan yang diberikan, kita jangkakan akan menerima sebanyak 20 buah dan sebahagian daripada bot terbabit akan ditempatkan di pantai timur Sabah," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata pihaknya juga dalam proses pemerolehan helikopter operasi maritim dengan jangkaan penerimaan sebanyak tiga buah yang turut ditempatkan di pantai timur Sabah setakat ini.

Beliau berkata demikian semasa menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob yang menyerahkan jawatan Panglima Armada Timur kepada Laksamana Muda Datuk Pahlawan Syed Zahrul Putra Syed Abdullah.
 

  • oleh
  • Advertisement