Anda di sini

Kukuhkan lagi kerjasama

Advertisement
 Shafie (kanan) dan Abang Johari pada sidang media berkenaan.
KERJASAMA: Shafie (kanan) dan Abang Johari pada sidang media berkenaan.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah dan Sarawak akan mengukuhkan jalinan kerjasama sedia ada untuk merealisasikan pelbagai pembangunan bersama khususnya dalam sektor minyak dan gas.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Kerajaan Sabah akan melihat secara terperinci beberapa sektor yang boleh dimanfaatkan bersama.

"Kita sedar kita masih ketinggalan daripada Sarawak khususnya dalam industri hiliran sektor minyak dan gas.

"Kita mempunyai minyak mentah terbesar dan pengeluar gas kedua terbesar, penting kepada kita bagi menguatkan hubungan sedia ada untuk direalisasikan demi manfaat kedua-dua negeri dan Malaysia keseluruhannya," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, semalam.

Beliau berkata, sebelum ini Sabah dan Sarawak turut mempunyai kerjasama dalam beberapa sektor antaranya dalam industri simen.

Katanya, kerjasama daripada pelbagai sudut pembangunan antara dua negeri ini juga boleh ditingkatkan untuk manfaat bersama dan Malaysia secara keseluruhannya.

"Sabah dan Sarawak adalah dua negeri yang luas dan mempunyai hasil sumber asli yang kaya selain banyak membawa pelancong dalam negara ini.

"Kita akan melihat bagaimana peranan bersama dimainkan bagi memastikan usaha bukan sahaja membantu negara tetapi kedua-dua negeri yang agak ketinggalan dari sudut prasarana berbanding negeri lain di Malaysia," katanya.

Menurutnya, Kepulauan Borneo akan menjadi sebuah pulau yang berperanan besar di rantau ini selepas Indonesia memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan.

Sementara itu, Abang Johari menjelaskan bahawa Sarawak dan Sabah mempunyai pelbagai persamaan dan kekuatan masing-masing.

"Sekiranya kekuatan kita ini dapat digabungkan dari sudut ekonomi dan sosial ia dapat membantu mentransformasikan keadaan sosioekonomi yang terdapat di dua negeri ini.

"Dengan kekuatan ini, ia sudah pasti dapat membangunkan Malaysia sebagai negara yang aman dan maju.

"Saya setuju dengan Shafie bahawa Kepulauan Borneo yang terdiri daripada Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia akan menjadi pulau terpenting di rantau ini," katanya.

Menurutnya, keadaan itu sudah pasti akan memberi ruang kepada Sabah dan Sarawak untuk mempunyai satu pendekatan ekonomi yang mantap antara jiran-jiran di Pulau Borneo.

Mengenai Belanjawan 2020, Shafie yang juga Menteri Kewangan Sabah menjelaskan walaupun peruntukan pembangunan diberikan kepada Sabah boleh disalurkan lebih banyak, tetapi Kerajaan Sabah berterima kasih kepada Kementerian Kewangan Pusat.

"Kami juga ingin tahu apa fomula yang diilhamkan oleh Kementerian Kewangan untuk menyalurkan peruntukan khas kepada negeri ini," katanya.

Abang Johari pula menjelaskan sekiranya dikaji dari segi keluasan dan sumber, peruntukan yang diagihkan kepada Sarawak memang tidak mencukupi.

"Memang kalau dibandingkan dari sudut wilayah kita tidak berpuas hati kerana selalu mereka membandingkan antara negeri ke negeri... dia bandingkan kita dengan Perlis… dia bandingkan kita dengan negeri-negeri Semenanjung.

"Kalau itulah rasionalnya… saya berpendapat agihan itu tidak adil kerana kalau anda mempunya negeri yang besar sudah pasti anda memerlukan lebih banyak peruntukan untuk membina kemudahan asas.

"Contohnya kemudahan digital... kalau mahu pergi ke arah 5G, sudah pasti anda memerlukan gentian optik di kesemua sudut negeri.

"Dari Lawas sehingga Kuching... dari contoh ini ia tidak boleh dibandingkan berdasarkan negeri. Kalau Selangor dan Melaka... kedua-dua negeri ini macam Kuching sahaja saiznya," katanya.

Oleh itu katanya, apabila kerajaan persekutuan ingin mengagihkan peruntukan, perlu mengikut rasional termasuk jalan-jalan kampung.

Menurutnya, Sarawak terpaksa mengeluarkan dana sendiri bagi menampung segala pembangunan kemudahan asas.

Hadir sama ialah Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Christina Liew serta Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar James Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

  • oleh
  • Advertisement